KUALA LUMPUR – Seorang daripada dua lelaki yang menunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke atas seorang lelaki di perhentian bas di Seri Kembangan petang ini, menyebabkan mangsa terbunuh di tempat kejadian.
Insiden itu, yang berlaku kira-kira 5.40 petang, mencetuskan suasana panik dalam kalangan ibu bapa yang ingin mengambil anak masing-masing pulang pada waktu itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Supt Mohd Rosdi Daud mengesahkan kejadian itu.
Seorang saksi kejadian yang enggan namanya disiarkan berkata beliau sedang menunggu anaknya dekat pintu pagar sekolah apabila kejadian itu berlaku.
“Semua ibu bapa lari bertempiaran (ketika kejadian), ia pengalaman ngeri buat kami hari ini,” katanya. -BERNAMA