KUALA LUMPUR — Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mengagihkan masing-masing sebuah van jenazah kepada pihak pengurusan 10 buah masjid di Selangor, membabitkan peruntukkan sumbangan zakat sebanyak RM1.2 juta.
Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata sumbangan hasil bantuan zakat itu diberikan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar.
“Idea untuk memberi sumbangan ini tercetus apabila kisah van yang uzur rosak di tengah jalan ketika sedang membawa jenazah lalu melambatkan urusan pengebumian.
“Insya Allah sekiranya pihak pengeluar zakat terus menunaikan zakat melalui LZS, kami akan terus menyalurkan sumbangan zakat bagi membangunkan institusi agama terutama masjid dan surau untuk kebajikan bersama,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci van jenazah kepada kesemua 10 wakil masjid terpilih itu di Masjid Seri Aman, Puchong dekat sini.
Antara masjid yang menerima bantuan van jenazah itu adalah Masjid Al-Ubudiah,Hulu Selangor ;Masjid Ar-Ridzuan, Bestari Jaya; Masjid At-Taqwa, Kuala Selangor dan Masjid An’Nur Kampung Kanchong Tengah, Kuala Langat,
LZS telah mengagihkan 50 van jenazah bernilai RM6 juta di Selangor sejak 2013. —BERNAMA