KUANTAN – Seorang juruwang di Genting Highlands kerugian RM41,800 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai sebagai anggota polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata kejadian itu berlaku apabila mangsa, 43, sebelum itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan memberitahu mangsa ada memberi kad pengenalannya kepada seseorang untuk menyewa kereta di Johor Bahru, Ahad lepas.
Anggota polis terbabit mendakwa, kereta berkenaan terlibat dalam kemalangan dan pemandunya meninggal dunia sdebelum talian mangsa disambungkan pula kepada suspek kedua yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Peng Sai Hau yang berpura-pura bertanya sama ada mangsa mengenali Lee Piak Tai.
“Sarjan berkenaan mendakwa Lee Piak Tai yang terlibat dengan kes jenayah telah memasukkan RM21,000 ke dalam akaun mangsa dan menuduhnya mempunyai perniagaan dengan lelaki berkenaan yang dikatakan turut terbabit dengan jenayah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Wazir berkata, suspek telah menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes berkenaan dengan meminta nombor akaun bank mangsa serta jumlah yang terdapat di dalam akaun berkenaan.
Kemudiannya, mangsa diminta memindahkan kesemua RM41,800 di dalam akaun bank miliknya ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek yang kononnya merupakan milik peguam yang akan menguruskan kes berkenaan, katanya.
Terpedaya dengan perkara itu, mangsa kemudian membuat dua kali pemindahan iaitu RM26,800 pada Isnin dan RM15,000 semalam di kaunter sebuah bank di Genting.
Katanya, selepas melakukan kesemua pemindahan mangsa cuba menghubungi suspek semula untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara itu, namun gagal.
Mangsa yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis di Balai Polis Genting semalam. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…