PUTRAJAYA – Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong tidak gentar bertarung di Parlimen Teluk Intan, Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun DAP menganggap kerusi itu ‘kawasan putih’ parti itu.
Mah, yang merupakan penyadang kerusi itu, berkata beliau akan mempertahankan kerusi tersebut sekiranya diberi mandat oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan dengan calon yang diketengahkan DAP.
“Saya tidak akan lari ke kawasan lain. Kami akan memberi tentangan walaupun sebagai underdog,” kata Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Kecil pada 2014, Mah menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, dengan majoriti 238 undi.
Mah turut bertanding kerusi sama pada PRU-13 namun tewas kepada calon DAP, Seah Leong Peng, yang memperoleh majoriti 7,313 undi.
Mah berkata beliau yakin pengundi di Teluk Intan mengetahui rekodnya sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
“Saya telah buat yang terbaik untuk penduduk Teluk Intan selepas kemenangan pada PRK lalu dan saya yakin rakyat akan membuat penilaian mereka pada PRU nanti,” katanya. – BERNAMA