SABOTAJ… Dalam sidang media di Parlimen pada Selasa lalu, akhirnya Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui berjaya menggunakan bantuan media asing memainkan persepsi jahat tentang isu 1MDB.
Pengakuan secara terbuka itu sudah membongkar plot konspirasi siapakah dalang sebenar ubah dokumen diperoleh menerusi Xavier Andre Justo untuk mereka cerita palsu mengenai 1MDB sebelum ditularkan luas di luar negara.
Malah pada tahun 2015 lagi, laman Facebook Kelab Saya Sayang Tun Dr Mahathir (SSTDM) sudah mengesahkan menerusi satu posting bahawa Mahathir ada bertemu Justo untuk ambil dokumen terbabit sebelum diedit semula.
Pentadbir akaun SSTDM tersebut dengan penuh perasaan bangganya turut ada menulis: “Kalau sekadar untuk pengesahan, apa salahnya… takkan nak terima saja tanpa dokumen pengesahan melalui perjumpaan empat mata…”.
Pada tahun 2015 lagi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama dengan bantuan Polis Diraja Thailand telah menyiasat Justo yang juga bekas Pengarah Eksekutif IT PetroSaudi itu dan asalnya ia sekadar kes biasa sahaja.
Namun dalam satu temubual dengan Justo di penjara Thailand, PDRM mendapat maklumat gerakan penggulingan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat menerusi pengubahsuaian dokumen 1MDB dan PetroSaudi.
Menerusi transkrip sembang Whatsapp telefon bimbit Justo sendiri turut dijumpai perbualan beberapa orang pemimpin pembangkang, orang kanan Mahathir dan editor portal Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown.
Mereka ternyata berkonspirasi menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia dengan mengunakan dokumen palsu itu. Malah dalam satu temubual dengan akhbar The Straits Times, Singapura, Justo menyebut nama Mahathir.
Tokoh pembangkang itu dirujuknya sebagai salah seorang yang terlibat. Justo menyatakan orang kanan Mahathir ada berjumpanya untuk ambil dokumen tetapi akhirnya tidak pula bayar sejumlah wang yang dijanjikan kepadanya.
Lebih teruk lagi dalam perbualan Whatsapp itu Claire berkata mahu raikan kejayaan menumbangkan Najib dengan segelas arak, bahkan wanita British tersebut dilaporkan telah berjumpa secara rahsia dengan Mahathir selepas itu.
Bukan sekali jumpa berswafoto tetapi berkali-kali termasuklah di London semasa sambutan Hari Raya Puasa pada tahun lalu. Dengan pengakuan terbuka Mahathir di Parlimen dua hari lepas itu, ia mengesahkan segala-galanya!
Siapakah dalang terbesar yang beria-ria mahu menumbangkan Najib sejak 2015 lagi jika bukan Mahathir. Beliau sengaja mahu mempergunakan isu 1MDB sebagai bahan modal politik bagi menumbangkan kerajaan demokratik.
Baca: PH Komplot Dengan Media Asing Guling Kerajaan?
Juga: Ancaman Serius Berita Palsu Didalangi Media Asing
Serta: 1MDB Modal Pembangkang Kering Isu – Arul Kanda
1MDB bukanlah isu sebenar pun. Duit RM42 bilion yang didakwa Mahathir konon sebagai hilang tidak pun hilang. Kapal layar, lukisan mewah dan kapal terbang yang didakwa dibeli dengan wang 1MDB pun ternyata tidak benar.
Ini termasuklah dakwaan jahat konon RM430 juta dana 1MDB yang disorok di pelbagai bank di Switzerland, juga tidak benar apabila sudah dua kali ditolak oleh jemaah Kabinet dan Parlimen Switzerland sendiri minggu lepas.
Semua ini hanya cerita rekaan kerana segala laporan dan sumber yang diguna pakai untuk projek tumbangkan Najib itu adalah semata-mata berdasarkan dokumen yang sudah diubah suai oleh pihak Sarawak Report semata-mata.
Malah portal propembangkang terkenal The Malaysian Insider yang aktif sebar cerita itu pun sudah ditutup apabila pendedahan eksklusif Justo ini dibuat dan tidak dijangka oleh pihak peminpin pakatan pembangkang sendiri.
Lebih lucu, Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq juga sudah bocor rahsia bahawa Mahathir memang memberi AS$5 juta kepada Yayasan Clinton untuk bayar pihak media asing sebagai kempen propaganda tumbangkan kerajaan BN.
Paling kelakar, sebelum ini pada 10 April 2016, Mahathir dalam satu temubual eksklusif dengan akhbar mingguan terkenal Australia, The Weekend Australian turut mengakui ada menjemput campur tangan asing di Malaysia.
Jadi, apa yang Wan Saiful Wan Jan yang baru dua, tiga hari masuk PPBM kemudian mendedahkan tentang campur tangan asing menerusi Cambridge Analytica membantu BN akhirnya terkena batang hidung anak Mahathir sendiri.
Puas Mukhriz Mahathir ‘bersilat’ menafikan, tetapi akhirnya ‘peluru’ yang ditembak oleh Wan Jan itu memakan diri sendiri apabila Azrin Zizal, bekas pegawai media Mukhriz dulu tampil secara terbuka mendedahkan cerita sebenar.
Ramai ahli sudah keluar PPBM kerana tahu agenda peribadi Mahathir ini. Mereka tahu 1MDB bukanlah isu pun. Mahathir sebenarnya tidak puas hati apabila kroninya tidak lagi dapat berbilion ringgit menerusi projek kerajaan.
Kerana hendak anak sendiri dilantik jadi perdana menteri, kerana agenda kroni, Mahathir sudah jadi pengkhianat bangsa waima negara sendiri. Undang campur tangan asing untuk menjatuhkan kerajaan demokrasi di negara ini.
Malaysia belum lagi dijajah oleh China seperti yang sering didakwa pembangkang. Yang terjajah dan tergadai adalah pakatan pembangkang Malaysia. Mereka sudah tergadai kepada ‘tangan’ asing! – Agensi/Mynewshub.cc/HAA