BEAUFORT – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih berkata program kemasyarakatan ‘Maju Bersama Negaraku’ membuktikan kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak cukup prihatin dengan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama di negara ini.
Beliau berkata program berbentuk gotong-royong membaik pulih fasiliti di beberapa kawasan di seluruh negara itu melibatkan semua rakyat, sekali gus membuktikan perdana menteri sentiasa mendengar denyutan nadi rakyat.
“Hari ini kita berterima kasih kerana program inisiatif perdana menteri ini sampai ke bahagian Beaufort iaitu membaik pulih Gereja Katolik St Zeno Kampung Batu 58 dan berharap program seumpama ini akan terus diadakan pada masa akan datang.
“Hari ini kita gotong-royong membaiki gereja dan mungkin selepas ini kita akan melakukan gotong-royong untuk membaik pulih surau atau masjid serta pelbagai fasiliti lain yang perlu dibaik pulih,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program itu di sini hari ini.
Program yang disertai kira-kira 200 penduduk setempat, pelajar Kolej Komuniti Beaufort serta beberapa selebriti tempatan itu berlangsung selama tiga jam sejak 8 pagi, merangkumi kerja-kerja membaiki dan menukar atap, mengecat dinding serta melukis mural Negaraku di gereja berkenaan.
Program yang dilaksanakan di seluruh negara mulai tahun ini itu telah diadakan di beberapa negeri termasuk di Kedah, Pahang, Melaka, Johor, Selangor dan Perak.
Sementara itu, Ketua Kampung Batu 58 Beaufort, Ludin Gumat berkata mewakili penduduk kampungnya, beliau sangat berterima kasih kepada perdana menteri kerana telah memilih untuk melaksanakan program itu di kampung berkenaan.
“Seramai 587 penduduk yang majoritinya Kadazandusun sangat berbangga kerana kampung kami yang kecil dan terpencil ini terpilih untuk melaksanakan program ini.
“Di sini kita boleh lihat bahawa kerajaan tidak pernah pilih kasih…kerajaan tidak pernah pilih mana-mana bangsa, agama atau suku dan kita adalah satu Malaysia,” katanya. – BERNAMA