KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maju setapak lagi apabila Makmal Pengujian (UTL) mekanikal dan kimia miliknya diiktiraf menepati standard antarabangsa MS ISO/IEC 17025:2005.
Menurut UniMAP, penganugerahan sijil akreditasi untuk bidang tersebut diumumkan oleh Jabatan Standard Malaysia baru-baru ini.
“Kejayaan ini adalah tanda UniMAP diterima oleh sektor industri,” kata pensyarah kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan UniMAP, Prof Madya Dr Khairel Rafezi Ahmad dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pengiktirafan itu meliputi lima skop ujian dan sah untuk tempoh tiga tahun dari Februari 2018 hingga Februari 2021.
Lima ujian itu ialah ujian tegangan (tensile test); ujian kekuatan mampatan (compressive strength); pH serta suhu bagi air sisa, permukaan, minuman dan air bawah tanah; ujian penentuan kandungan plumbum bagi air domestik, industri, osmosis berbalik, air mineral dan air ultrapure; dan ujiar FTIR bagi pelbagai larut, katanya.
Khairel Rafezi berkata ujian tersebut melibatkan makmal di PPK Bahan, alam Sekitar dan Bioproses.
Katanya pengujian yang diiktiraf Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) bukan sahaja memenuhi keperluan pengurusan dan teknikal untuk pengujian serta kecekapan pengukuran malah turut beroperasi di bawah Pengurusan Kualiti MS ISO 9001.
“Pengiktirafan tersebut adalah jaminan ketepatan standard pengukuran yang diterima pakai di peringkat antarabangsa seperi Australia, China, Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya.
Belia mengalu-alukan pihak industri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), insituti-institusi kerajaan dan swasta serta penyelidik, pelajar dan individu yang berminat untuk melakukan ujian di makmal tersebut. – BERNAMA