SEPERTI yang sudah diketahui umum, penyanyi rap, Altimet akan menamatkan karier seninya tidak lama lagi. Jadi tidak hairanlah apabila segala ‘bahan’ yang dikeluarkan menjadi perhatian ramai.
Minggu lalu, Altimet tampil dengan single terbaharunya berjudul Mambang dan mendapat perhatian hangat netizen sehingga video lirik yang dimuat naik ke YouTube menduduki tangga ke-6 carta trending di Malaysia.
Namun, dalam kemeriahan yang diterima lagu berkenaan, terdapat segelintir netizen yang berpendapat lirik lagu tersebut seolah-olah menyerang penyanyi rap terkenal, Malique.
Bagaimanapun, Altimet menolak dakwaan berkenaan dan sebaliknya menjelaskan lirik dan melodi lagu itu sebenarnya berkisarkan kisah seninya sendiri.
“Tidak. Ia bukan berkenaan atau ditujukan kepada sesiapa dan perkara ini memang banyak yang bertanya dengan saya.
“Tahun lalu saya dapat idea menghasilkan lagu ini daripada seorang teman apabila dia kata perjalanan dunia seni saya sudah jauh berjalan.
“Lirik lagu itu sebenarnya mengenai diri saya yang dahulu dan saya ‘tembak’ (menyentuh) diri saya yang sekarang. Saya lawan dengan diri sendiri,” jelasnya memetik mStar Online.
Jelas Altimet, dia tidak mempunyai masalah sekiranya penjelasan yang diberinya itu tidak dipercayai oleh sesetengah pihak.
Malah, Altimet sendiri telah bertindak untuk menceritakan dengan lebih terperinci tentang lirik lagu tersebut di laman Twitternya baru-baru ini.
Tambahnya, dia kini hanya menyerahkan kepada pendengar untuk menilai sendiri lirik tersebut berdasarkan penjelasannya itu.
“Mambang itu merujuk kepada diri saya yang lama dan pada tahap sekarang saya tak kisah jika masih ada yang tak percaya.
“Saya sendiri memang sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku sebelum melancarkan Mambang.
“Tetapi Alhamdulillah di sebalik itu Mambang mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat walaupun ia tidak banyak dimainkan di radio,” ujarnya.
Mengulas mengenai album, Altimet yang akan menamatkan perjalanan seninya sebagai penyanyi rap November ini bakal melancarkan album terbaharunya berjudul Air akhir bulan ini.
Altimet berkata, kejayaannya di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) bulan lalu tidak akan mengubah pendiriannya untuk bersara dari menyanyi.
“Kejayaan Amboi di AJL32 dan penerimaan memberangsangkan Mambang pada saat-saat saya mahu mengundurkan diri tidak membuatkan saya berbelah bahagi untuk menarik balik keputusan dibuat sebelum ini.
“Insya-Allah saya akan lancarkan dua buah album sebelum bersara selain merancang untuk mengadakan konsert jelajah,” katanya.
Jelas Altimet, dia tidak akan meninggalkan bidang seni secara menyeluruh sebaliknya hanya akan terlibat di belakang tabir sebagai komposer dan mencari bakat baharu.
“Saya cuma berhenti daripada menyanyi rap dan menghasilkan lagu rap untuk diri sendiri tetapi kerja-kerja belakang tabir tetap saya teruskan.
“Malah jika ada tawaran dalam bidang lakonan, teater atau apa-apa berkaitan saya tidak akan menolak cuma saya tidak menyanyi lagi,” jelasnya lagi.
Altimet turut mendedahkan bahawa dia telah dirisik syarikat rakaman bertaraf antarabangsa untuk bekerja dengan mereka namun masih memikirkan tentang tawaran tersebut.
Altimet ditemui ketika menghadiri majlis kesyukuran bersama anak-anak Pusat Pengurusan Al-Firdaus bagi meraikan kemenangannya di AJL32 tempoh hari. – MYNEWSHUB.CC/EZ