MUAR – Barisan Nasional (BN) akan menampilkan manifesto mesra orang muda pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) demi manfaat generasi masa depan.
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata BN bukan sahaja mementingkan kemajuan dan perancangan generasi masa kini tetapi juga mementingkan kelangsungan generasi masa depan bagi menjamin masa depan yang lebih baik.
“Kita bukan parti untuk hari ini (sahaja), kita bukan parti untuk generasi masa kini sahaja (tetapi) kita juga parti untuk masa depan generasi akan datang.
Kita nak saudara saudari memikirkan bahawa kalau kita bagi sokongan, kita nak parti yang mana? KIta nak parti yang ada agenda jelas untuk generasi muda hari ini.
“Saya setuju dengan syor Khairy Jamaluddin (Pengerusi Pemuda BN) supaya dalam manifesto, kita masukkan satu bab khusus untuk orang muda,” kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN, di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Pagoh, hari ini.
Hadir sama Pengerusi BN Johor dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Khairy, naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan dan Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas.
Semasa berucap di hadapan lebih 10,000 anggota pemuda dan puteri BN itu, Najib juga berjanji akan memikirkan agenda-agenda yang penting bagi generasi muda seperti ilmu dan kemahiran; pendapatan; peluang pekerjaan, tempat tinggal dan gaya hidup untuk dimasukkan dalam manifesto berkenaan.
“Macam Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), baru-baru ini saya dah umumkan kenaikan elaun daripada RM1,500 kepada RM2,000. Untuk apa? Supaya orang muda yakin bahawa kerajaan BN adalah untuk mereka. Untuk puteri, kita dah bagi macam-macam, kalau lahirkan anak, dapat ADAM50 (Amanah Dana Anak Malaysia 2050)..kalau mengandung, boleh balik awal sejam, suami pun,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata semua yang sudah disediakan setakat ini oleh kerajaan BN hanya permulaan sahaja, dan kerajaan mempunyai perancangan lebih jelas dan menyediakan pelbagai kemudahan dan perancangan untuk generasi muda sekiranya diberi mandat sekali lagi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Beliau juga berkata projek-projek berimpak tinggi seperti Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), Aliran Transit Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo juga bukan sahaja disediakan untuk generasi masa kini tetapi juga untuk dinikmati generasi masa depan, selain turut melibatkan secara langsung warga kerja orang muda dalam pelaksanaan dan pengurusan seperti jurutera dan juruukur.
Perdana Menteri berkata segala kemudahan yang disediakan serta pelaksanaan projek-projek sedemikian merupakan bukti kerajaan BN mahu melihat masa depan dan kemajuan negara berbanding parti pembangkang yang langsung tidak memikirkan generasi masa depan.
“Ada pemimpin pembangkang berumur 93 tahun, dia bagi ucapan waktu pelancaran manifesto pembangkang (baru-baru ini) yang kata…kami (pembangkang) tak kisah masa depan, kami nak sekarang ini.
Saya nak beritahu, ini bukan mesej untuk orang muda. Mesej (untuk) orang muda ialah sebuah parti yang mendokong kerajaan untuk hari ini dan masa depan,” kata beliau.
Najib, yang juga Presiden UMNO itu, turut menyeru jentera Pemuda dan Puteri agar lebih agresif, berani serta menggempur habis-habisan dalam kempen PRU akan datang bagi memastikan kemenangan BN.
“Ingatlah Pemuda dan Puteri, ini dua jentera penting parti kita. Kita dah bagi tugas pada Pemuda, jangan mengelat. Pastikan jentera Pemuda berjalan lancar. Pemuda biar agresif, berani dan serang habis-habisan.
Puteri kita harap, ayu..tekun..buat kerja bersungguh-sungguh. Kita gabung dengan Wanita JR Plus, kita akan punya kekuatan luar biasa. Kita juga gabung dengan komponen-komponen BN.
“Ini bukan soal UMNO sahaja, tetapi juga MCA, MIC, Gerakan dan MyPPP… mesti dalam keluarga BN,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Khairy, sekali gus mengharapkan agar kejayaan Malaysia sebagai penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017 diulang semula pada PRU akan datang. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..