JIKA berdasarkan kepada manifesto pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Pulau Pinang bakal menerima Ketua Menteri yang baharu menggantikan Lim Guan Eng.
Ini kerana Pakatan Harapan (PH) yang belum disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ketika mengumumkan manifesto blok itu pada Khamis lalu dengan bangga mahu mengehadkan tempoh penyandang kepada dua penggal.
Justeru secara tidak langsung, kedudukan ketua kerajaan negeri tersebut akan diisi oleh individu lain manakala Guan Eng sepatutnya sudah boleh bersedia untuk meletakkan jawatan selepas PRU ke-14 diadakan tidak lama lagi.
“Saya ingin mengambil peluang di sini mengucapkan selamat bersara kepada saudara Lim Guan Eng,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis dalam catatan menerusi laman blognya, najibrazak.com semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merujuk manifesto PH yang diumumkan di Shah Alam, Selangor minggu lalu antara lain mengandungi cadangan mengehadkan jawatan pemimpin hanya kepada dua penggal sahaja.
Ini termasuk penyandang Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar. Untuk rekod, Guan Eng yang kini terpalit dengan pelbagai skandal rasuah; sudah dua penggal memegang jawatannya itu sejak PRU ke-12 lalu.
“Kenapa sekarang baru hendak cadangkan, kenapa bukan dahulu semasa ketua mereka pernah menjadi Perdana Menteri lima penggal setengah,” kata Najib yang jelas merujuk kepada Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas pemimpin yang pernah dikutuk pembangkang itu sebagai diktator firaun maha zalim itu memerintah negara ini selama 22 tahun waima suatu ketika amat kuat didesak pemimpin parti lawan untuk melepaskan jawatannya.
Bahkan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri lantang pernah mahu beliau berundur selepas dirinya dipecat jawatan pada 1998 lalu dengan mempopularkan akronim UMNO sebagai Undur Mahathir Negara Okay.
Mahathir mengambil alih jawatan daripada Tun Hussein Onn pada 1981 sebelum diserahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004. Guan Eng pula menggantikan Tan Sri Koh Tsu Koon dari Parti Gerakan-BN pada 2008.
Ironi, kepimpinann DAP sendiri menolak rancangan pengehadan tempoh jawatan ketua menteri tersebut waima pernah diusulkan seorang wakil rakyatnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tahun lalu.
Dalam pada itu Najib, yang juga Presiden UMNO menerusi catatannya itu turut menyifatkan manifesto pakatan pembangkang tersebut adalah penuh dengan pelbagai janji manis umpama madu tetapi sebenarnya racun berbisa.
“Bukan itu sahaja, malah manifesto mereka juga hipokrit, layaklah digelar harapan palsu,” katanya merujuk janji PH yang bukan sahaja tidak masuk akal, bahkan dan ada sudah pun dilaksanakan BN. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA