PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot dan 15 nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara secara haram di dua lokasi berasingan, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Daerah Maritim 10 Tok Bali, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata bot pertama ditahan bersama seorang tekong dan lima awak-awak di 100 batu nautika dari Kuala Tok Bali pada 1.45 pagi.
Ismail berkata bot kedua bersama seorang tekong dan lapan awak-awak ditahan pada 2.32 pagi di 102 batu nautika dari Kuala Tok Bali.
“Kesemua nelayan asing yang berusia antara 23 dan 56 tahun itu ditahan ketika rondaan dibuat oleh agensi ini di perairan negara. Nelayan asing berkenaan turut bertindak memadamkan lampu bot mereka untuk melarikan diri selepas dikesan oleh Maritim Malaysia.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, nelayan asing tersebut ada yang bersembunyi di ruang penyimpanan ikan dan timbunan pukat untuk mengelak daripada ditangkap,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas 1,100 kilogram ikan dan 1,300 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM400,000.
Katanya kedua-dua bot berkenaan ditunda ke Pelabuhan APMM Tok Bali di sini, untuk siasatan di bawah Akta Perikanan 1985. – BERNAMA