KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan institusi perbankan termasuk Bank Negara Malaysia dalam usaha mengatasi masalah keberhutangan serius dalam kalangan sesetengah anggotanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata melalui kerjasama itu, setiap individu yang mempunyai pendapatan bersih di bawah paras 40 peratus berbanding gaji kasar dikenal pasti dan dimasukkan ke dalam kumpulan sasaran untuk tujuan pemantauan.
“Mereka diberi bimbingan dan bantuan dalam mengurus kewangan secara berhemah, serta diselamatkan secara berperingkat daripada terus terjerumus dalam masalah keberhutangan serius.
Kita berpendapat sekiranya perkara ini (keberhutangan serius) tidak diatasi dengan kadar segera, ia akan memberi kesan negatif kepada integriti individu (anggota),” katanya ketika berucap pada Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri bersama Warga PDRM di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras di sini hari ini.
Mohamad Fuzi berkata kerjasama ini juga bertujuan melaksanakan saringan dan intervensi kewangan yang bersesuaian terhadap mereka yang terbabit dalam isu keberhutangan serius.
“Ia secara tidak langsung membolehkan langkah sewajarnya diambil bagi membantu mereka ini daripada belenggu hutang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata setiap anggota juga perlu meletakkan budaya integriti sebagai tonggak utama dalam melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Nilai integriti mampu mencorakkan etika, sifat-sifat murni dan pemikiran rasional dalam mencegah rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam tugasan masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri menghadiri mesyuarat pengurusan bersama pucuk pimpinan tertinggi PDRM. – BERNAMA