SUNGAI BULUH – Insiden gempar membabitkan pencerobohan seekor babi jantan di Masjid Jamek Sungai Plong, semalam, dianggap selesai selepas kerja pembersihan dan samak dilakukan pada pagi ini.
Lapor media tempatan, seramai kira-kira 50 ahli kariah masjid bergotong royong melakukan pembersihan dan proses samak di bahagian masjid yang terjejas bermula pada jam 11 pagi tadi sehingga 1.30 tengah hari.
Imam 3 Masjid Jamek Sungai Plong, Mohamed Rahmad Ahmad Bukhari, 31, berkata hampir tiga perempat kawasan masjid telah dicemari oleh darah babi liar tersebut dan kerja pembersihan dimulakan dengan membersihkan kesan-kesan darah yang terpalit.
Menurutnya, babi tersebut telah cedera dan berdarah ketika memasuki kawasan masjid dan atas nasihat Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), beberapa barangan yang terjejas seperti karpet, sebuah kipas dan dua buah kerusi turut dilupuskan.
“Kerja pembersihan dimulakan dengan membersih kesan-kesan darah yang terpalit pada dinding dan lantai masjid.
“Selesai membersihkannya, kita memulakan proses menyamak dengan membasuh mengunakan air tanah sekali dan enam kali air bersih,” katanya.
Kerja-kerja pembersihan turut dibantu anggota bomba dan penyelamat serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Difahamkan, karpet yang dilupuskan itu akan diganti dengan yang baharu melalui sumbangan jemaah masjid.
“Kos menggantikan karpet bernilai RM34,000. Karpet berkenaan akan digantikan selewat-lewatnya petang ini,” katanya.
Jelasnya, kawasan sekitar Masjid Jamek Sungai Plong memang mempunyai habitat babi hutan dan ini adalah kejadian pertama haiwan liar itu berjaya memasuki masjid.
“Babi tersebut cedera di luar kawasan masjid dan menjadi berang. Dia cuba kejar kanak-kanak yang berada di luar masjid. Kanak-kanak tersebut yang ingin menyelamatkan diri lari masuk ke dalam masjid.
“Tindakan kanak-kanak tersebut adalah betul namun babi berkenaan mengejar mereka sehingga ke dalam masjid pula,” kata Mohamed Rahmad.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, seorang jemaah cedera disondol seekor babi hutan yang dikatakan tiba-tiba muncul di pekarangan masjid sebelum mengejar beberapa kanak-kanak berada di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, haiwan itu kemudian lari masuk ke dalam masjid dan menyondol seorang jemaah sehingga cedera.
Jemaah yang terkejut dengan kejadian itu kemudian cuba menghalau haiwan terbabit, namun ia ditembak mati oleh seorang jemaah yang memiliki senapang patah. – MYNEWSHUB.CC