RIUH rendah PPBM apabila menerima kemasukan Wan Saiful Wan Jan, bekas CEO IDEAS ke parti tersebut kononnya bulan jatuh ke riba. Ramai yang tidak kenal IDEAS berbanding BERSIH.
IDEAS sebenarnya mula didaftarkan di London, Britain pada 2006 lalu. Ketiga-tiga pengasasnya tinggal di London. Namun pada 2009 ia ditutup dan tiba-tiba kemudian didaftarkan pula di Malaysia pada tahun 2011.
Alasan Wan Saiful menyertai PPBM kononnya untuk terus menyuburkan demokrasi dan perubahan di Malaysia. Bekas ahli PAS ini tidak istiqomah bersama PAS sehingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Sebaliknya memilih PPBM yang cara pemilihan kepimpinan dan perjalanan partinya itu pun dipertikaikan tahap kedemokrasiannya. Apatah lagi dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad yang rekod demokrasinya dipersoalkan.
Maka tidak sukar untuk memahami is hati Wan Saiful. Sudah tentu dia ada dijanjikan dengan kerusi yang ‘mudah menang’ dalam PRU ke-14 berbanding jika bertanding atas tiket PAS atau parti-parti lain Pakatan Harapan.
Kesudahannya semua “Civil Organisation” di Malaysia ini sukar dipercayai jika ia bukan bermotifkan politik. Rupanya ia adalah batu loncatan kepada seseorang mencipta nama dan populariti sebelum jadi calon pilihan raya.
Inilah yang berlaku kepada aktivis Maria Chin dari BERSIH, Irene Fernandez dari TENAGANITA, Zainur Zakaria (Bar Council), Tian Chua dari SUARAM serta Chandra Muzaffar daripada ALIRAN dan JUST.
Maka perjuangan mereka yang kononnya untuk menegakkan civil society hanya muslihat dan mati sekerat jalan. Rakyat tertipu dan mereka menjadi politikus yang lebih kuat berbohong apabila masuk politik seperti Tian Chua.
Ini yang gagal dipelajari oleh Wan Saiful. Dia harus belajar daripada pengalaman pahit Chandra yang dikenali hingga ke peringkat antarabangsa sebagai ahli akademk tersohor berbanding dengan Wan Saiful dan IDEAS.
Chandra sama seperti Wan Saiful menggunakan isu reformasi untuk menyertai pembangkang. Bahkan Chandra diberikan jawatan Timbalan Presiden Keadilan. Dia bertanding kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
Tetapi akhirnya dia meninggalkan parti tersebut dengan penuh kekecewaan kerana terperangkap dengan politik ganas dalam parti tersebut. Chandra meninggalkan Keadilan kerana tidak tahan dengan politik tikam belakang.
Dia sendiri menjadi mangsa dalam parti yang mahu menjatuhkannya atas nama “Reformasi dalam Keadilan“. Komen penting Chandra ialah akhirnya dia menyedari Keadilan adalah parti milik individu bukannya rakyat.
Maka apakah PPBM bukan parti milik indvidu atau agenda individu? Wan Saiful perlu belajar daripada Chandra. Justeru, apabila seseorang daripada mana-mana civil organisation menyertai pembangkang ia bukan menggambarkan parti itu adalah tulus dan benar.
Tetapi kerana ia menjamin seseorang itu “confirm”menjadi calon dan bertanding di kerusi yang selamat.
Mohd Puad Zarkashi
MT UMNO. 7.3.2018
*Video sekadar hiasan…