KOTA BHARU – MCA tidak gentar untuk berdepan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, tindakan Pakatan Harapan khususnya DAP yang sering bermain ‘politik sentimen’ sudah tidak diterima berbanding Barisan Nasional (BN) yang sentiasa komited dalam memastikan rakyat terbela.
“MCA bukan seperti DAP yang suka memecahbelahkan rakyat dengan mencipta pelbagai sentimen malah parti itu juga tidak mempunyai agenda pembangunan tersendiri dalam membela rakyat.
“Kita (MCA) yakin dengan kekuatan sekarang dan akan memberi ‘lebih’ lagi kepada rakyat. Sekarang rakyat bukan lagi seperti dahulu, dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan politik retorik, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan MCA Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di sini, hari ini. Hadir sama ahli Jawatankuasa Pemuda MCA pusat Chua Hock Kuan.
Liow juga berkata MCA akan melakukan perubahan dan cuba menambah keanggotaan parti khususnya di Kota Bharu berbanding 5,000 anggota ketika ini.
“Difahamkan, ada 9,000 pengundi kaum Cina di Kota Bharu. Kami akan membuat perjumpaan dengan mereka dan pastikan mereka akan mengundi BN, ” katanya. – BERNAMA