KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak meminta pengamal media antarabangsa membuat pelaporan yang seimbang dan adil mengenai isu-isu berkaitan Malaysia terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Beliau berkata kerajaan sedar akan peranan dan keperluan media melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Apa yang kami (kerajaan) harapkan ialah kami diberi peluang yang adil untuk menonjolkan pandangan kami bagi memastikan pelaporan isu-isu adalah seimbang dan adil,” katanya berucap merasmikan ‘Sesi Kupi-Kupi’ bersama pengamal media antarabangsa, di sini hari ini.
Beliau berkata antara isu berkaitan Malaysia yang telah dibangkitkan dan mendapat liputan media antarabangsa baru-baru ini adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), undang-undang mengenai berita tidak benar dan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Katanya, pada masa pilihan raya umum diadakan, sentiasa terdapat laporan berbentuk spekulasi yang cuba memberi gambaran wujud persengketaan dalam negara ini.
Oleh kerana pilihan raya, katanya, pihak pembangkang juga akan menyuarakan ideologi dan agenda berbeza masing-masing dan pandangan mereka itu bertujuan untuk pengundi membuat penilaian serta memilih yang terbaik.
Salleh menegaskan bahawa kerajaan tidak menindas atau menyekat mana-mana pandangan yang bertentangan selagi ia berada dalam lingkungan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen.
“Semua pandangan bertentangan dengan pemerintah selalu dibenarkan oleh kerajaan tetapi perlu diingat bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum yang berkembang atas prinsip keharmonian dan toleransi,” katanya,
Justeru, katanya, adalah menjadi kewajipan kerajaan yang memerintah untuk memastikan semua pandangan tidak mendorong kepada tercetusnya susana tegang terutama semasa keterangsangan pilihan raya.
Semasa sesi itu, Salleh mengingatkan pengamal media antarabangsa agar tidak mempolitikkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, hanya kerana ia telah dibawa semasa musim pilihan raya.
“Apa pun yang kita lakukan, rakyat akan membuat tafsiran secara berbeza tetapi penyebaran berita palsu melalui pelbagai platform terutama media sosial telah memberi kesan kepada rakyat Malaysia.
“Oleh itu, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyatnya,” katanya.
Sesi selama dua jam itu disertai oleh 30 pengamal media daripada 20 agensi berita antarabangsa termasuk Al Jazeera, Kyodo News, BenarNews dan agensi berita Iran, Islamic Republic News Agency (IRNA). – BERNAMA