MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memerlukan lebih ramai Pegawai Bomba Bantuan (PBB) berbanding 71 anggota kini bagi meningkatkan mutu perkhidmatan jabatan tersebut.
Pengarah JBPM Melaka Kamarulzaman Malik Abdullah berkata daripada jumlah itu seramai 27 adalah anggota sedia ada, manakala 44 lagi merupakan anggota pengambilan sesi pertama tahun ini.
Beliau berkata jabatan itu hanya menerima 53 permohonan untuk menjadi PBB pada sesi pengambilan berkenaan, yang mana 44 pemohon melepasi ujian dan latihan asas selama 10 hari mulai 11 Mac lepas
“Perlantikan PBB ini penting bagi menambah keanggotaan jabatan sedia ada, di samping melahirkan pasukan cekap ketika menangani kecemasan serta cabaran semasa.
“PBB ini akan ditempatkan di balai bomba bagi kategori C dan D serta mungkin juga B, yang mana mereka akan terlibat secara langsung dalam melaksanakan kerja menyelamat dan memadam kebakaran,” katanya pada Majlis Tamat Latihan, Kursus Pentauliahan PBB di sini hari ini.
Sementara itu, Kamarulzaman Malik berkata JBPM Melaka sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
“Semua anggota bomba sentiasa siap siaga untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi penamaan calon serta pusat pengundian bagi mengelak tragedi tidak diingini berlaku,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata hanya lapan daripada keseluruhan 18 maahad tahfiz negeri itu telah menubuhkan Skuad Bomba Tahfiz seperti yang digalakkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun lepas.
“Selebihnya masih dalam proses, selain kita turut menerima dua permohonan tambahan untuk latihan. Oleh itu, kita menjangkakan kesemua pusat tahfiz seluruh negeri akan menubuhkan skuad masing-masing selewat-lewatnya akhir tahun ini,” katanya. – BERNAMA