KUALA LUMPUR – Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff memberi contoh mengapa pembangkang bersungguh-sungguh membantah penggubalan Akta Berita Palsu.
Kata beliau, contoh terbaru adalah kenyataan Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP merangkap Pengerusi DAP Johor dan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Menurut beliau, Chin Tong mendakwa kononnya antara langkah Perdana Menteri untuk menghapuskan Pakatan Harapan adalah dengan mengekang media digital seperti menggantung portal berita The Malaysian Insight.
“Gambaran yang diberikan Chin Tong iaitu penggantungan portal berita The Malaysian Insight dibuat oleh kerajaan dan berpunca daripada tindakan pihak kerajaan untuk mengawal dan menekan media dalam talian.
“Walhal (perkara sebenar) Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insight, Jahabar Sadiq pada 23 Mac lalu menyebut penggantungan operasi The Malaysian Insight dibuat oleh pihak The Malaysian Insight sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Kata Kamarul, The Malaysian Insight menjelaskan penggantungan operasi The Malaysian Insight kerana persekitaran kewangan yang mencabar, terlepas jangka masa perancangan utama untuk memperkenalkan sistem pembayaran berita dan trafik lamannya tidak mencapai tahap sasaran ditetapkan.
Justeru, kata beliau, kenyataan Chin Tong itu menunjukkan betapa perangai pemimpin pembangkang DAP yang sanggup menyebarkan berita palsu demi menyemarkan sentimen kebencian rakyat kepada UMNO dan juga PAS.
“Tidak hairanlah mengapa pemimpin DAP begitu kuat sekali menentang Rang Undang-Undang Berita Palsu,” kata beliau. – MYNEWSHUB.CC