KUALA LUMPUR – Modal insan menjadi faktor paling penting bagi menempa kejayaan, jauh mengatasi kepentingan sumber asli dan infrastruktur yang memacu Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata formula Malaysia yang dirumuskan hampir 30 tahun lepas menggabungkan pelbagai faktor seperti kestabilan politik, tenaga buruh yang murah, undang-undang dan peraturan selain infrastruktur kelas pertama dengan jayanya dicontohi dan terus ditambah baik oleh pesaing dari negara jirannya.
“Satu-satunya cara untuk kita maju ke hadapan adalah dengan mempunyai modal insan cemerlang, dan kita perlu memikirkan semula pendidikan dan latihan kita dengan sepenuhnya.
“Menambah baik sekolah sahaja tidak cukup, perjalanan kita ke arah kecemerlangan akan memerlukan pengurusan sumber manusia holistik terdiri daripada mereka yang terbaik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian Sidang Kemuncak Modal Insan Tun Abdullah Ahmad Badawi kali ke-3, di sini hari ini.
Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) Tan Sri Dr Michael Yeoh dan Presiden Sekolah Tinggi Bukit Mertajam (HSBM) Datuk S. Kulasegaran.
Dalam membina modal insan cemerlang, Khairy berkata adalah penting untuk menerima hakikat bahawa dunia yang akan dihuni generasi muda pada 2050 adalah jauh berbeza daripada kehidupan pada hari ini.
“Empat daripada 10 pekerjaan hari ini, termasuk pekerjaan kolar putih, berdepan kemungkinan dilengkapi teknologi komputer, telekomunikasi, dan sistem elektronik. Peruncitan, pengeluaran, pertanian dan pembinaan berada di barisan hadapan kemudahan teknologi ini, sekaligus membawa kepada lebih banyak penggunaan jentera dan kurangnya pekerja tidak mahir,” jelas beliau.
Khairy menarik perhatian bahawa purata tempoh seseorang pekerja yang kekal dalam satu-satu pekerjaan pada hari ini adalah kira-kira 4.4 tahun, manakala jumlah itu adalah separuh membabitkan pekerja muda.
Katanya trend itu akan berterusan ketika ekonomi gig menggalakkan lebih banyak pekerja sambilan dengan mengurangkan jumlah pekerja sepenuh masa.
“Lebih banyak golongan muda di seluruh dunia mencari pekerjaan yang memberi impak positif kepada masyarakat, dan memilih sesuatu pekerjaan bukan lagi tentang gaji dan ganjaran kewangan,” katanya.
Memberi contoh sekolah di Malaysia, Khairy berkata langkah berani diperlukan apabila menjawab persoalan yang sukar membabitkan pembelajaran mengikut kaedah lama.
Katanya sambil memastikan kanak-kanak mempunyai akses kepada pendidikan asas, sekolah di Malaysia juga perlu berterusan melakukan perubahan bagi memastikan pelajar menamatkan pengajian mereka dengan kemahiran yang betul. – BERNAMA