TENANG… Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sambut baik permohonan maaf Neelofa berhubung isu pelancaran koleksi terbaharu hijab di sebuah kelab malam terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau juga memuji sikap merendah diri yang ditunjukkan oleh selebriti terkenal berkenaan dalam mengakui kesalahan diri sendiri.
“Alhamdulillah, saya melihat kenyataan akhbar ini suatu tindakan terpuji yang dibuat oleh NH apabila membuat permohonan maaf terhadap kesalahan telah mereka lakukan.
“Perkara ini bertepatan dengan hadis yang bermaksud: Setiap anak Adam tidak terlepas daripada kesalahan, namun sebaik-baik pesalah adalah mereka yang bertaubat,” kata Zulkifli dipetik Harian Metro.

Menurut Zulkifli, dalam melayari dunia perniagaan selain keuntungan, aspek keberkatan juga merupakan salah satu perkara penting yang perlu diutamakan setiap umat Islam.
Justeru, beliau mencadangkan agar peniaga tudung melantik ‘Penasihat Syariah’ yang bertanggungjawab dalam menilai setiap produk dihasilkan agar ia bukan sahaja mengikut peredaran semasa malah turut menitikberatkan prinsip syarak.
“Kewujudan penasihat seumpama ini dapat mengelakkan kejadian seperti itu berulang seterusnya terus mengekalkan kepercayaan netizen terhadap produk berperanan dalam melengkapkan kesempurnaan ibadah seorang wanita.
“Oleh itu, dinasihatkan agar mana-mana syarikat yang mempromosikan produk yang mempunyai elemen Islami agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan agar ia tidak memercikkan unsur negatif kepada agama Islam,” ujar beliau.

Pada Isnin lalu, majlis pelancaran koleksi tudung terbaru Naelofar Hijab iaitu #BeLofa mendapat kritikan hebat pelbagai pihak termasuk mufti tersebut apabila ia diadakan di sebuah kelab malam.
Ekoran itu, Neelofa menerima kecaman hebat berikutan dianggap kurang sensitif apabila mengadakan majlis pelancaran itu di pusat hiburan yang sinonim dengan gejala negatif seperti pergaulan bebas dan pengambilan alkohol – MYNEWSHUB.CC/AM