Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Kes Rasuah: Pegawai Kanan...

KOTA BHARU - Seorang pegawai kanan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negeri...

AirAsia Tawar Tambang Promosi...

KUALA LUMPUR - AirAsia dan AirAsia X menawarkan promosi tambang istimewa bagi menyambut...

Cara ‘Ajar’ Pemandu Tidak...

BEIJING - Seorang tukang cuci di timur China menjadi popular selepas video menunjukkan...

Jarak 7.82 M ‘Terbangkan’...

KUALA LUMPUR - Impian untuk mewakili negara ke Sukan Asia 2018 semakin cerah...

Mulakan Terapi Hormon Pada Awal Menopaus

KUALA LUMPUR – Kebanyakan wanita menganggap saat mula putus haid (menopaus) sebagai berakhirnya nikmat kehidupan, lebih memburukkan keadaan adalah gejala tidak selesa yang mereka alami.

Terapi Gantian Hormon (HRT) boleh membantu melegakan gejala-gejala seperti sensasi terbakar (hot flushes), berpeluh malam, gangguan tidur dan kekeringan faraj tetapi kebanyakan wanita menopaus di Malaysia enggan mendapatkan rawatan berkenaan kerana mempunyai salah tanggapan mengenainya.

Menurut Presiden Persatuan Menopaus Malaysia, Dr Ho Choon Moy, hanya kira-kira tujuh peratus daripada wanita menopaus di Malaysia mengamalkan HRT, berikutan kurang kesedaran mengenai rawatan berkenaan dan kebimbangan sama ada ia selamat atau sebaliknya.

Wanita Malaysia yang mengamalkan HRT kebanyakannya terdiri daripada mereka yang bekerja di sektor perubatan seperti doktor dan jururawat.

Pelbagai gejala yang dikaitkan dengan menopaus adalah berpunca daripada kadar hormon estrogen yang berkurangan. Juga dikenali sebagai terapi gantian estrogen, HRT dikatakan rawatan paling berkesan untuk mengatasi gejala itu.

HRT mula diperkenalkan di peringkat global pada 1940-an namun ia hanya semakin popular pada 1960-an.

HRT TIDAK MENYEBABKAN KANSER

Ho, yang juga pakar obstetrik dan ginekologi di sebuah hospital swasta di sini, berkata persepsi umum bahawa HRT boleh menyebabkan kanser payudara adalah tidak benar kerana kajian menunjukkan bahawa 80 peratus kanser payudara dalam kalangan wanita pascamenopaus berlaku terhadap wanita yang tidak pernah menjalani terapi hormon.

Bagaimanapun, katanya, risiko wanita untuk mengalami kanser payudara meningkat dua kali ganda selepas berusia 50 tahun, sama ada dia menjalani HRT atau tidak.

“Namun saya jamin bahawa lebih mudah untuk mendiagnosis kanser terhadap wanita yang mengamal HRT kerana mereka perlu kerap menjalani pemeriksaan kesihatan. Lebih awal kanser dapat dikesan bermakna boleh mendapatkan rawatan lebih awal,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Menasihati agar kaum wanita mengamalkan HRT dalam tempoh lima tahun pertama menopaus, Ho berkata memulakan rawatan lebih awal dapat membantu mencegah berlakunya pelbagai masalah lain yang boleh menyebabkan kelesuan seperti osteoporosis dan penyakit-penyakit vagina pada tahun-tahun di hujung kehidupan kelak.

“HRT sebenarnya menambah kualiti kehidupan seseorang wanita,” kata pakar berusia 60 tahun itu, yang juga pengamal HRT.


Tidak akan ada kesan sampingan jika HRT mula diamalkan dalam tempoh lima tahun pertama selepas menopaus.

Mengamalkan HRT selepas lima tahun menopaus boleh meningkatkan risiko wanita mendapat kanser payudara, kata Ho.

“Kebanyakan wanita datang berjumpa saya pada usia 65 tahun untuk memulakan HRT, tetapi saya memberitahu mereka sudah terlambat. Memulakan HRT setelah lama menopaus adalah tidak digalakkan kerana ia boleh membawa kepada banyak masalah kesihatan,” tambah beliau.

KLINIK UNTUK WANITA MENOPAUS

Ditanya sama ada mudah untuk menolak pelbagai salah tanggapan mengenai HRT, Ho mengakui bahawa sukar untuk meyakinkan wanita Malaysia mengenai manfaat rawatan penggantian estrogen.

“Mereka tidak sedar akan terpaksa melalui tempoh menopaus selama bertahun-tahun dan betapa pentingnya untuk menjaga kesejahteraan diri sepanjang peringkat kehidupan itu,” katanya.

Hospital-hospital swasta mengenakan antara RM50 hingga RM100 sebulan untuk rawatan HRT yang paling minimum. Kaum wanita juga boleh mendapatkan rawatan HRT di klinik khas untuk wanita menopaus di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ho juga menasihati golongan wanita yang mempunyai sejarah bagi penyakit-penyakit kanser dan jantung agar mengelakkan rawatan HRT kerana ia berpotensi membahayakan kesihatan mereka.

“Mereka sepatutnya mengambil suplemen kesihatan seperti kalsium dan vitamin D agar terus bertenaga dalam menjalani kehidupan setelah menopaus,” katanya.

Wanita yang mengamalkan HRT dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan setiap bulan semasa peringkat awal rawatan; kemudian, pemeriksaan boleh dilakukan sekali setiap enam bulan dan akhirnya sekali setahun. – BERNAMA

Kategori