KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau ingin menjadikan Malaysia sebagai antara 20 negara terunggul di dunia dari segi pembangunannya namun pada masa sama rakyatnya tetap hidup dalam keadaan bahagia.
Katanya beliau tidak ingin melihat kemajuan Malaysia cuma diukur dari segi pendapatan perkapita rakyatnya sahaja tetapi mahu kemajuan Malaysia juga diukur dari segi kebahagiaan rakyatnya.
“Rakyat bahagia bererti kita nak bentuk sebuah masyarakat yang begitu selesa antara satu sama lain, kalau kita serasi antara satu sama lain, lepas itu kita saling hormat menghormati, bantu membantu tidak kira kumpulan etnik, budaya, agama… dan kita tetap menyanjung tinggi orang lain yang ada bersama-sama kita.
“Kalau inilah semangat yang ada pada kita, maka kumpulan yang ramai etnik pun tidak menjadi masalah dan tengoklah Malaysia, (contohnya) kita ada 250 kumpulan etnik di Sabah, tidak pernah ada konflik yang dahsyat sesama kita,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Perdana Menteri dengan Persatuan-Persatuan Etnik dan Kesenian Sabah di sini malam ini.
Turut hadir pada majlis yang dihadiri 67 ketua kumpulan etnik berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan dua timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin serta beberapa anggota Kabinet negeri. -BERNAMA