SEBAGAI seorang selebriti, penampilan diri haruslah dijaga dengan rapi supaya nampak lebih kemas dan terurus. Bagi pelakon Nazim Othman, dia sangat mementingkan imejnya hingga sanggup berhabis puluhan ribu ringgit.
Demi menjayakan drama terbaharu berjudul Mona Lisa, Nazim atau nama sebenarnya, Nushrul Alif Othman, 34, dia telah berhabis puluhan ribu ringgit demi membeli 40 pasang sut serta pakaian kasualnya.
“Saya sanggup keluarkan modal sendiri untuk menjaga imej. Lagipun sebagai seorang pelakon kita jangan berkira soal wang untuk imej,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Baginya, duit bukan soal utama kerana ia merupakan usahanya sendiri untuk menjayakan sesuatu watak yang dilakonkan.
“Sebab itu semua untuk kerja kita juga dan masa hadapan. Jadi, tak salah untuk habiskan duit bagi menjayakan sesuatu watak itu.
“Saya ada beli 11 sut di Vietnam dan selainnya tempah di sini sahaja. Kos perbelanjaan saya untuk imej dalam drama itu sebanyak puluhan ribu,” tambahnya lagi.
Malah, suami kepada pelakon Bella Dally itu juga langsung tidak membenarkan sesiapa untuk menyentuh rambut serta menyolek wajahnya kerana dia hanya selesa jika menguruskannya dengan sendiri.
“Macam rambut dan solekan di wajah saya tak pernah benarkan sesiapa usik. Saya akan buat sendiri.
“Sebelum datang ke lokasi penggambaran, saya dah bersiap terlebih dahulu. Saya lebih selesa melakukannya sendiri.
“Jurusolek di set hanya betulkan atau tambah jika perlu sahaja. Tapi hanya solekan, rambut hanya saya saja boleh buat,” tambah pelakon drama Dendam Aurora itu lagi.
Dalam masa yang sama, dia turut memberitahu bahawa drama Mona Lisa merupakan adaptasi daripada drama popular Korea iaitu The Women’s Room.
Disebabkan itu, dia kini sudah bersedia untuk menerima apa sahaja kritikan kerana pasti akan ada yang membuat perbandingan berkaitan drama tersebut.
“Drama itu merupakan adaptasi daripada drama Korea popular dan saya tahu mesti ada yang membuat perbandingan.
“Secara jujurnya, saya tak kisah dan bersedia menerima sebarang kritikan,” tambahnya lagi.
Drama Mona Lisa yang ditayangkan sebanyak 80 episod itu merupakan arahan Shahrul Ezad Mohameddin serta turut dibarisi oleh Zara Zya, Hafreez Adam, Mona Allen dan ramai lagi.
Pada 20 Mac ini, penonton akan dapat menyaksikan drama tersebut pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 petang di saluran Astro Prima dan Maya HD. – MYNEWSHUB.CC/AH