SYUKUR… Pelakon yang pernah terkenal dengan pelbagai watak antagonis, Adam Corrie Lee Abdullah dan kini aktif menjadi pendakwah, akhirnya bakal bergelar bapa selepas 10 tahun berkahwin.
Adam yang dahulunya popular menerusi filem aksi lasak KL Gangster dan Dragon ini dipetik portal tempatan Astro Awani cukup teruja berkongsi berita gembira tersebut menerusi laman sosial Facebook milik dirinya pada Khamis.
“Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Mu. Terima kasih juga kepada semua pihak yang mendoakan kebahagian kami. Alhamdulillah. Allah sudah bagi honeymoon 10 tahun berdua. Insya-Allah kelak bertiga pula.
“Ya Allah, semoga Engkau jadikan bayi ini sihat, sempurna, berakal cerdas dan mengerti dalam urusan agama. Ya Allah semoga Engkau memberikan kepada bayi ini umur yang panjang, sihat jasmani dan rohani.
“Bagus budi perangainya, fasih lisannya Serta bagus suaranya untuk membaca dan Al Quran dan tinggikanlah darjat. Dan luaskanlah rezeki. Dan jadikanlah bagi manusia yang selamat di dunia dan akhirat.
“Dan taat agama dan Allah. Saya doakan mereka yang masih menanti rezeki zuriat semoga Allah berikan jua. Aamin allahumma aamin. I love you @puan_fazi_fuad. Mr & Mrs Adam Corrie. #adamcorrie #bakaljadiAyah,” tulis Adam.
Entri unik aktor mualaf keturunan Cina tersebut nyata berjaya menarik perhatian ramai pengguna laman Facebook dengan mendapat lebih 56,000 tanda suka serta dikongsi hampir 7,000 kali dan meneria kira-kira 9,000 komen.
Rata-rata peminat Adam mengambil kesempatan pengumuman gembira berkenaan dengan mengucapkan tahniah kepada pelakon aksi berasal dari Pulau Pinang dan memeluk Islam sejak usia 39 tahun itu atas berita dikongsikan.
Kebanyakan netizen tempatan turut sebak dengan penantian selama 10 tahun yang tabah ditempuhi oleh Adam dan isteri, Fazema Mohd. Fuad, 40, dalam menanti kehadiran cahaya mata dalam keluarga mereka.
Adam atau nama sebenarnya, Adam Corrie Lee Abdullah, 50, mendirikan rumah tangga dengan pasangannya itu pada 21 November 2008. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA