Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Pegawai MAHB Direman Kes...

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan reman seorang pegawai...

Cukur Rambut Bantah Pampasan

Seoul - Puluhan anggota keluarga mangsa feri Sewol yang karam di Korea Selatan...

Bekas Jurutera Apple Sebagai...

WALAUPUN beliau pernah dianggap sebagai legenda di Apple, namun Genius Bar telah menolak permohonan...

Iktiraf UEC Niat Jahat...

KUALA LUMPUR - "Saya melihatnya sebagai sebahagian daripada niat jahat beberapa parti politik...

Nik Ibrahim: Putus Kaki Diserang Pengganas

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

KOPERAL Nik Ibrahim Hamat langsung tidak menduga, tindakannya memijak sebatang pokok tumbang akan menyebabkan dirinya ditimpa malapetaka yang hampir memusnahkan masa depannya.

Lebih malang, kejadian itu berlaku di kala dia sedang berjuang untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang diserang hendap oleh pengganas komunis.

Walaupun begitu, dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi meskipun terpaksa menanggung penderitaan hidup setelah kehilangan sebelah kakinya akibat jerangkap samar musuh.

Segala-galanya berlaku pada tanggal 25 November 1981. Ketika itu, dia yang ditugaskan dalam platun Unit Risik Gempur (UCIS) Battalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) telah diminta membantu sebuah lagi platun dalam pasukan tersebut yang diserang hendap oleh hampir 20 pengganas komunis di hutan Gubir, Kedah.

Dalam serang hendap itu, dilaporkan tiga anggota platun tersebut telah mengalami cedera parah setelah ditembak musuh.

Memandangkan kedudukan platun UCIS paling dekat dengan pasukan tersebut iaitu kira-kira satu kilometer, maka Nik Ibrahim bersama 18 rakan yang lain telah bergegas ke tempat pertempuran untuk memberi bantuan.

Dalam keadaan tergesa-gesa bergerak ke situ, tanpa diduga Koperal Ahmad Arshad telah terpijak jerangkap samar dan kehilangan kaki kirinya.

Disebabkan itu, mereka terpaksa memberi bantuan perubatan dan hanya meneruskan perjalanan selepas Ahmad dibawa keluar oleh sebuah helikopter Nuri kira-kira 45 minit kemudian.

Pergerakan ke tempat pertempuran dilakukan dalam dua kumpulan kecil.

Sejam kemudian barulah mereka tiba dan mendapati pertempuran masih lagi berlangsung di tepi sebuah sungai.

Beberapa minit selepas mereka sampai, dua buah helikopter Nuri turut tiba untuk memberi tembakan bantuan dari udara.

Tembakan Mesingan Kegunaan Am (GPMG) telah berjaya mengkucar–kacirkan kedudukan musuh sehingga menyebabkan musuh terpaksa melarikan diri ke arah sempadan Thailand.

“Sebaik pertempuran reda, kami melakukan penjejakan dengan diketuai oleh Leftenan Tengku Mohd Nor.

“Banyak jejak musuh kami temui tetapi musuh hilang entah ke mana,“ katanya.

Esoknya penjejakan diteruskan lagi sejauh lima petak peta. Tetapi musuh tetap gagal ditemui.

Bagaimanapun, pada hari ketiga, mereka berjaya menemui sebuah pangkalan musuh yang baru lagi ditinggalkan.

“Mereka telah tahu kehadiran kami. Jadi mereka lari untuk menyelamatkan diri,“ kata Nik Ibrahim.

Pusat Latihan Musuh

Menurut beliau, pangkalan itu merupakan pusat latihan musuh dan dipercayai dihuni kira- kira 200 pengganas komunis.

“Ketika penggeledahan dilakukan, kami berjaya menemui beberapa buah khemah, lapang sasar menembak dan kebun pisang.

“Paling mengejutkan, kami turut menemui sebuah terowong yang dipercayai tembus ke Thailand. Dalam terowong itu turut terdapat kawasan dapur dan telaga yang digali musuh,“ katanya.

Selain itu, mereka juga menemui tiga guni beras, ternakan seperti babi, ayam dan itik serta bahan-bahan untuk memasak.

Selepas sejam melakukan penggeledahan, mereka meneruskan penjejakan, namun sehingga ke senja tiada seorang musuh pun ditemui.

Pagi esoknya pula, penjejakan dimulakan seawal pukul 7 pagi. Satu ketika, mereka menemui sebatang anak sungai yang lebarnya kira–kira tiga meter.

Disebabkan itu, mereka mengambil keputusan untuk menyeberang sungai yang airnya sedalam paras pinggang.

“Kami melaluinya dengan saya berjalan di depan sekali. Memandangkan di sungai itu terdapat sebatang pokok tumbang, maka kami menyusuri tepi pokok tersebut sehingga ke tebing seberang,” terang Nik Ibrahim.

Sebaik sampai di tebing, beliau terus menaiki pokok tumbang tersebut sambil memerhatikan rakan-rakan lain yang bergerak dibelakangnya.

Selepas mendapati rakan-rakan semakin hampir kepadanya, Nik Ibrahim meneruskan perjalanannya.


Namun, sebaik kaki kanannya menjejak ke tanah, tiba-tiba satu letupan kuat kedengaran sehingga memecah kesunyian hutan.

“Serentak dengan itu, tubuh Nik Ibrahim tercampak sejauh kira-kira tiga meter ke dalam sungai.

“Tatkala berada dalam sungai, barulah saya sedar yang saya terkena jerangkap samar.Terasa amat sakit sekali dan kemudian saya lihat air sungai berhampiran saya berubah menjadi merah,“ ujar beliau.

Beberapa ketika kemudian, rasa sakit tersebut beransur hilang dan diganti dengan rasa kebas dari kaki hingga ke pusat.

Melihat keadaan tersebut, beberapa rakannya terus meluru untuk memberi bantuan kepadanya.

Tetapi malangnya, tanpa diduga lima atau enam pengganas komunis telah muncul entah dari mana dan terus melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan sehingga menimbulkan suasana cemas dan kelamkabut.

Lantaran itu juga, tujuh rakan Nik Ibrahim yang cuba membantunya terpaksa mencari perlindungan sambil melepas tembakan untuk menyaingi tembakan musuh.

Bertempur

Pada masa yang sama, anggota semboyan platun tersebut telah menghantar mesej untuk meminta bantuan helikopter bagi membawa Nik Ibrahim keluar.

Selepas kira-kira 10 minit bertempur, kelihatan sebuah helikopter Alloutte dan Nuri berlegar di situ.

Apabila tembakan Very Light Pistol dilepaskan, helikopter tersebut berjaya mengesan kedudukan platun tersebut.

Mereka turut berjaya mengesan kedudukan musuh di tebing sebuah bukit dan terus melepaskan tembakan dari udara.

Setelah kira-kira 20 minit bertempur, barulah pengusung diturunkan menerusi teknik winching dari helikopter Nuri untuk mengangkat Nik Ibrahim.

Tatkala berada dalam sungai, barulah saya sedar yang saya terkena jerangkap samar. Terasa amat sakit sekali dan kemudian saya lihat air sungai berhampiran saya berubah menjadi merah.

“Masa diangkat itulah saya dengar beberapa das tembakan dihalakan terhadap saya dan helikopter oleh musuh.

“Disebabkan itu, helikopter Nuri tersebut terpaksa bergerak meninggalkan kawasan berkenaan dengan segera meskipun saya masih terawang-awang di udara,” katanya.

Malah beberapa kali, pengusung tersebut nyaris terlanggar dahan-dahan pokok.

“Satu ketika saya menjadi cemas apabila melihat pengusung saya hampir-hampir lagi terlanggar sebatang pokok besar.

“Kalau terlanggar dan tersangkut di situ, mungkin saya telah mati. Begitu juga dengan mereka yang berada dalam helikopter tersebut,“ katanya sambil meberitahu jika tersangkut, helikopter tersebut berkemungkinan besar akan terhempas.

Selepas berjaya melepasi kawasan pertempuran, Nik Ibrahim terus diterbangkan ke Hospital Alor Star. Setelah helikopter berada pada kedudukan yang lebih tinggi, barulah beliau ditarik masuk ke dalam perut pesawat selepas terawang-awang beberapa ketika di udara.

Tiba di hospital, doktor mendapati kecederaan yang dialami Nik Ibrahim agak parah dan kerana itu kaki kanannya yang telah hancur terpaksa dipotong.

Beliau kemudiannya menjalani rawatan di situ selama tiga bulan.

Kemudian bapa kepada tiga orang cahaya mata ini meneruskan rawatannya selama sebulan lagi di Hospital Kota Bharu.

Nik Ibrahim, 49, yang memasuki tentera pada 12 Februari 1976 bersara pada Februari 1997 dengan jawatan terakhirnya sebagai pelayan mes sajian di Markas 8 Briged di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Sebelum tragedi tersebut, anak jati Kampung Pangkal Durian, Machang ini telah terlibat dalam hampir 20 operasi ketenteraan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Antaranya Ops Selamat Sawadee, Dao Yai Musnah 1, Ops Indera dan Ops Setia. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Kategori