ORANG Ipoh, di mana suaranya…..?
Bandar Ipoh, Perak semakin mendapat tempat di hati pelancong dari seluruh dunia oleh kerana lokasinya yang berhampiran dengan dua bandar raya destinasi pelancongan popular di Malaysia iaitu Kuala Lumpur dan George Town, Pulau Pinang.
Namun, Ipoh sebenarnya lebih daripada itu.
Dikenali sebagai “Bandar Yang Dibina Oleh Bijih Timah”, Ipoh berkembang daripada sebuah bandar yang ‘mati’ kepada satu hub pelancongan yang meriah dan berwarna-warni, terima kasih kepada inisiatif warganya yang memulakan ‘gerakan’ transformasi kepada bandar ini.
Kini, Ipoh menjadi antara destinasi pilihan pelancong yang mahu tenang sebentar daripada kesibukan ibu kota, dan ini diperakui oleh portal berita antarabangsa, The New York Times (NY Times).
Di dalam kolum bahagian pelancongan laman web itu, NY Times telah menggelarkan Ipoh sebagai “bandar yang harus dilawati”!
Dalam artikel ini, penulisnya Sanjay Surana memberikan beberapa “sebab mengapa Ipoh perlu ada dalam radar libur anda”.
Ia termasuklah beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pengunjung seperti Sekeping Kong Heng yang dihias cantik dengan mural lukisan pelukis terkenal dari Lithuania, Ernest Zacharevic, tepian Sungai Kinta yang kini meriah dengan limpahan lampu LED serta makanan-makanan lazat yang disajikan oleh restoran-restoran kegemaran warga Ipoh sejak turun-temurun.
Di samping restoran moden kontemporari seperti Burps & Giggles, Pattiserie Boutique dan Plan B, Sanjay turut memuji keenakan dan keunikan sajian nasi ganja, ayam taugeh dan nasi ayam barbeku yang terkenal di Ipoh.
Sanjay juga memberikan cadangan tentang aktiviti yang boleh dilakukan di Ipoh dan hotel-hotel butik yang menjadi kegemarannya semasa berkunjung ke sana.
Melihat gambar-gambar yang disertakan sekali dalam artikelnya itu buatkan kami tak sabar pula mahu ‘melepak’ ke Ipoh suatu masa nanti!
Menurut Sanjay lagi, berdasarkan temu bualnya dengan beberapa orang tempatan, Ipoh kini sedang melalui fasa kenaikan di mana bandarnya secara tidak langsung dibangunkan oleh warga muda.
Belia inilah yang bertungkus-lumus bekerja keras dan mengaplikasikan semula apa yang mereka belajar dalam pengalaman bekerja dan menetap di ibu kota atau luar negara.
Jadi, memang sesuai sekali Ipoh digelar bandar belia kerana ‘tenaganya’ yang pelbagai nuansa dan meriah dengan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan yang menarik.
Jadi, apa lagi? Moh kita ke Ipoh, weh! – MYNEWSHUB.CC