KUALA TERENGGANU – Pelaksanaan Fasa 1 myBAS Kuala Terengganu di bawah program Transformasi Bas Henti-Henti (SBST) akan mula beroperasi Ahad ini, empat hari lebih awal daripada jangkaan asal pada 15 Mac ini.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam kenyataannya hari ini, berkata 11 bas mini berkapasiti 38 penumpang disediakan bagi pelaksanaan program berkenaan.
Laluan utama baharu yang terlibat dalam fasa itu ialah T102 dari Kuala Terengganu ke Jeti Merang melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud, diikuti T301 dari Kuala Terengganu ke Marang.
Selain itu, T202 membabitkan laluan Kuala Terengganu ke Bukit Payung dan F100 (laluan pengantaraan Kuala Terengganu).
Menurut kenyataan itu, laluan T202 dan F100 mula beroperasi 1 Mac lalu dan kesemua laluan tersebut melengkapkan lagi pelaksanaan Fasa 1 myBAS Kuala Terengganu dengan jarak terkumpul hampir 100 kilometer.
“Waktu operasi adalah Ahad hingga Khamis dari 6 pagi hinga 7:30 malam, Jumaat dari 6 pagi hingga 7:30 malam dan Sabtu dari 7 pagi hingga 7 malam.
“Dari segi kekerapan, waktu puncak 60 minit, bukan waktu puncak 90 minit. Bagi laluan T301 Kuala Terengganu-Marang, waktu operasi Ahad hingga Khamis dari 6 pagi hingga 7.30 malam, Jumaat dari 6 pagi hingga 7.30 malam dan Sabtu 7 pagi hingga 7 malam,” kata kenyataan itu.
Bagi perkhidmatan myBAS Kuala Terengganu Fasa 1 yang bermula pada 1 Mac lalu membabitkan laluan T202 Kuala Terengganu ke Bukit Payung melalui Pasir Panjang dengan waktu operasi Ahad hingga Khamis dari 6 pagi hingga 7.30 malam, Jumaat 6 pagi hingga 7.30 malam dan Sabtu 7 pagi hingga 7 malam.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini dan lebih terperinci mengenai perkhidmatan myBAS Kuala Terengganu boleh layari www.maralinergroup.my atau melalui Facebook.com/MARALinerSdnBhd atau Twitter @MaralinerGroup, menurut kenyataan itu. – BERNAMA