KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) yang mewarisi kepimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bukan parti Islam PAS!
Penasihat PAN, Ustaz Ahmad Awang berkata, malah PAN yang memperjuangkan Islam yang sesuai dan benar di negara ini.
Menurutnya, PAN juga meneruskan tahaluf siyasi dengan sesiapa sahaja demi menumbangkan kerajaan termasuk DAP.
“Kami (PAN) sebenarnya hari ini meneruskan pendekatan, cara dan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.
“Walaupun mereka (PAS) marah kami guna nama Tok Guru Nik Aziz, itu tak jadi soal kerana orang (rakyat) tahu dan faham,” dakwanya dalam satu ceramah baru-baru ini.
PAN ditubuhkan oleh kumpulan pro- Pakatan Rakyat yang tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS pada tahun 2015.
Mereka gagal mempertahankan jawatan dan menubuhkan PAN dengan sokongan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR)
PAN kononnya parti Islam baru bagi menggantikan PAS dalam Pakatan Harapan selepas Pakatan Rakyat terbubar.
Pakatan Rakyat dibubarkan oleh DAP dan PKR bagi menyingkirkan PAS kerana enggan berkompromi dalam isu-isu akidah Islam.
Rentetan itu, PAS turut mengumumkan pembatalan tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR kerana mengancam kepentingan Islam.
Ahmad dalam pada itu membidas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menyatakan haram umat Islam mengundi DAP.
‘Abdul Hadi dulu masa tahaluf siyasi kata wajib undi DAP, sekarang terbalik haram undi DAP.
“Adakah itu bermaksud amanah (Abdul Hadi) boleh dijual beli?,” katanya. – Mynewshub.cc