KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai dihempap muatan tanah yang dibawa sebuah lori yang terbalik di persimpangan Bukit Jalil-Puchong, di sini, pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkely Yahya ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu yang berlaku kira-kira 10 pagi.
Beliau berkata pegawai polis berpangkat Inspektor yang memandu berseorangan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kereta jenis Honda Jazz yang dipandu pegawai polis itu remuk di bahagian belakang dan tindakan mengalihkan kenderaan dan tumpahan tanah sedang dijalankan,” katanya.
Polis juga sedang menyiasat punca kejadian berkenaan.
Insiden itu mendapat perhatian netizen menerusi tular beberapa gambar lori terbalik, muatan tanah di atas jalan dan kereta rosak teruk. – BERNAMA