PEJABAT Perdana Menteri di Putrajaya hari ini menyifatkan laporan dua buah akhbar berhubung pengumuman nama calon Barisan Nasional (BN) pada 2 April ini cuma sebagai spekulasi media.
Menerusi kenyataan dikeluarkan di Putrajaya pada hari ini, pejabat berkenaan merujuk laporan eksklusif harian tempatan itu yang memetik sumber tertentu bahawa senarai rasmi nama bakal diumumkan pada tarikh tersebut.
Dua akhbar arus perdana itu menerusi laporan muka depannya menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN akan mengumumkannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.
“Pejabat Perdana Menteri ingin menjelaskan laporan disiarkan hari ini bahawa pengumuman calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dibuat Perdana Menteri pada 2 April hanya merupakan spekulasi media,” kata kenyataan itu.
Namun Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan secara ringkas itu tidak mengulas lanjut mengenai kesahihan berita tersebut sebaliknya membiarkan perkara berkenaan menjadi teka-teki dalam kalangan penganalisis politik.
Untuk rekod, akhbar itu sebelum ini pernah melaporkan bahawa Najib dijangka melancarkan Manifesto BN di ibu negara pada 7 April depan iaitu secara kebetulan dua hari sahaja selepas persidangan dua dewan di Parlimen tamat.
Pada 11 Mac lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan BN sudah selesai menetapkan senarai akhir calon yang akan dipertaruhkan untuk bertanding di 222 kerusi Parlimen pada PRU-14.
Nama mereka akan diumumkan sendiri Perdana Menteri, pada bila-bila masa. Ketika PRU ke-13, BN menampilkan 33 peratus calon muka baharu dengan berjaya memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandinginya.
Najib ketika menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 di Sydney pada 18 Mac lalu turut mengakui akan mengumumkan nama calon lebih awal sebaik pembubaran Parlimen berbanding amalan biasa sebelum ini.
Pada kelazimannya ujar beliau, senarai nama hanya diumum dua atau tiga hari sebelum tarikh penamaan calon, tetapi kali ini BN memecah tradisi lama itu sebagai persediaan awal jika berlaku isu berbangkit di kerusi tertentu.
Tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan BN ditunjangi UMNO sekarang hanya akan berakhir pada 24 Jun depan sebelum Parlimen boleh dibubarkan secara automatik sejurus tarikh berkenaan. – Mynewshub.cc/HAA