PELAWAK dan pengacara popular, Nabil Ahmad, 35, merancang untuk membawa peminatnya menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah pada Ramadan tahun ini.
Ia bersempena dengan genap usia 10 tahun pembabitan dirinya secara langsung dalam bidang seni tanah air.
Menurut pengacara MeleTOP itu, sempena sedekad pembabitannya dalam industri seni, dia juga mahu berkongsi rezeki dengan peminat setia yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini.
“Ini adalah hadiah istimewa untuk mereka kerana tanpa mereka, saya tidak berada pada tahap sekarang. Kalau sebelum ini, saya ke Tanah Suci dibawa penganjur, kali ini saya mahu bawa peminat pula.
“Jika diizinkan Allah SWT, saya mahu berpuasa dan mengerjakan umrah bersama peminat di Tanah Suci Makkah kerana ia juga memenuhi impian ramai orang,” katanya kepada Harian Metro.
Pada masa sama, Nabil memberitahu bahawa beliau turut terlibat dalam program My Umrah Story yang dikendalikan oleh syarikat pengurusannya, Urban Platinum Resources.
Ujarnya lagi, tawaran tersebut dibuka bermula hari ini dan nama peminat yang terpilih mengerjakan umrah tersebut akan diumumkan pada majlis ulang tahun ke-10 saya dalam bidang seni pada 24 Mac akan datang.
Nabil ditemui pemberita pada majlis meraikan ulang tahun ke-10 pembabitan dalam industri seni di sebuah hotel di ibu kota, hari ini.
Mereka yang berminat boleh menghubungi talian hotline 019 371 6252 dan melayari laman sosial Facebook myumragstory atau akaun instagram @myumrahstory. – MYNEWSHUB.CC/MIZE