JEMPOL – Pemandu bas yang terlibat dengan kemalangan di Jempol pagi semalam, ditahan reman empat hari sehingga Rabu ini, bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Muhd Nur Hishamuddin Hashim, berkata permohonan reman pemandu bas yang berusia 33 tahun itu dibuat di hadapan Majistret Alau’ddin Baharom di Mahkamah Kuala Pilah.
Dalam kejadian 7.15 pagi di Kilometer 21, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang dekat sini, pemandu kereta, Latif Salleh, 40, dan anaknya, Zunaidie, 11, maut di tempat kejadian manakala anak perempuannya, Zuzaidie, 15, cedera parah di muka.
Pemandu bas berusia 33 tahun itu tidak mengalami kecederaan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Ford Telstar dipandu Latif dari arah Kuala Pilah bertembung dengan sebuah bas henti-henti dari arah Simpang Pertang, yang sebelum itu cuba mengelak sebuah kenderaan lain di laluan bas berkenaan.
Ketika cuba memasuki laluannya semula, pemandu bas gagal mengawal kenderaan, sebaliknya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung kereta dipandu Latif. – BERNAMA
*Sekadar Video Hiasan..