PETALING JAYA – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua pekerja yang sedang mengecat papan tanda di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Suhaimi Yusoff, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah lori dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Ying Hing Kai, 46, dan warga Indonesia, Sapiudin, 50, di Kilometer 0.6 LDP di sini pada 2.49 pagi, 15 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen tertuduh digantung sehingga selesai kes.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam K. Theivaendran memohon jumlah jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh tidak lagi bekerja dan mempunyai tanggungan anak yang masih kecil.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan lesen digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 30 April untuk sebutan semula kes.
Pada 15 Mac lalu, akhbar melaporkan dua pekerja maut manakala seorang lagi cedera akibat dirempuh sebuah treler dari arah Plaza Tol Puchong Barat menghala ke Persiaran Klang di Kilometer 0.6 LDP, di sini.
Dalam kejadian itu, Ying Hing Kai dan Sapiudin maut di lokasi kejadian. – BERNAMA