KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian Taiwan, Lin Tsung-hsien melawat syarikat dan peruncit di Kuala Lumpur yang menjual produk pertanian Taiwan, dengan sasaran dapat memperluaskan bahagian pasaran halal dan mempromosikan baja, biji benih, mesin pertanian keluaran negara itu di Malaysia.
“Pemindahan teknologi dalam bidang pertanian dari institut penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh Majlis Pertanian kepada syarikat-syarikat tempatan di Malaysia dapat membantu perkembangan pertanian di Taiwan dan Malaysia,“ kata Lin semasa lawatan dua harinya ke Malaysia pada 3 Mac.
Beliau melawat beberapa syarikat tempatan seperti All Cosmos Bio-Tech Holding Corp, pengeluar baja yang berpangkalan di Malaysia dan pengeluar baja DaChan Great Wall Group di Malaysia.
DaChan Great Wall Group adalah konglomerat pertanian dan makanan Taiwan.
Selain itu, Lin juga mengadakan perbincangan dengan eksekutif perniagaan Taiwan untuk memahami keperluan mereka serta mendapatkan kerjasama lebih lanjut dengan perniagaan Malaysia.
Beliau berkata di bawah prinsip faedah bersama, Taiwan berharap, dengan kerjasama negara-negara selatan yang baru, dapat menggalakkan pembangunan pertanian serantau dengan meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang maklumat, teknologi dan bakat untuk menjamin pertanian lestari serta meningkatkan pendapatan petani di negara-negara di rantau ini. – BERNAMA