ALOR SETAR – Pemuda UMNO Kedah hari ini menyelar kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mendakwa kejayaan kerajaan negeri yang dipamerkan pada Ekspo Muafakat Kedah adalah kejayaannya semasa menjadi menteri besar.
Ketuanya Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata kejayaan yang dipaparkan di ekspo tersebut adalah hasil usaha dan pencapaian yang telah dilaksanakan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hasil hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.
Shaiful Hazizy berkata hubungan baik Ahmad Bashah dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan pusat telah membantu memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan.
“Mukhriz sebelum ini (semasa menjadi menteri besar) selalu salahkan kerajaan pusat, lepas itu cakap permohonan tidak diluluskan.
“Tambahan lagi, masalah-masalah yang berlaku semasa pemerintahan Mukhriz telah diselesaikan oleh menteri besar sekarang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini bagi mengulas dakwaan Mukhriz semalam bahawa sebahagian besar kejayaan kerajaan negeri yang dipamerkan pada ekspo itu adalah hasil usahanya sejak 2013 sewaktu memegang jawatan menteri besar Kedah.
Semalam, Ahmad Bashah dalam sidang media memberitahu kejayaan dan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang dipamerkan pada Ekspo Muafakat Kedah bukanlah hasil usaha seorang individu ataupun menteri besar semata-mata sebaliknya membabitkan kerjasama pelbagai pihak dalam berganding bahu memajukan negeri. – BERNAMA