LARUT – Inisiatif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam membantu golongan usahawan di bandar ini ternyata mendapat sambutan yang begitu mengalakkan daripada penduduk setempat.
Lebih daripada 1,200 pendaftaran telah direkodkan agensi berkenaan sepanjang tempoh dua hari berlangsungnya program BizFair yang diadakan di Arena Batu Kurau, di sini yang berakhir semalam.
Tinjauan Mynewshub pada hari kedua program mendapati sejak jam 10 pagi, kesemua ruangan tempat duduk telah dipenuhi dengan kehadiran pengunjung yang tidak mengira latar belakang dan usia.
Seorang pengunjung ditemui memberitahu, program ini wajar dilakukan lebih kerap kerana ia dapat memudahkan penduduk khasnya di kawasan perkampungan dan pedalaman yang ingin berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
“Saya mengetahui program ini setelah diberitahu oleh rakan-rakan dan tujuan asalnya hanyalah ingin menghidupkan lesen perniagaan.
“Namun tidak menyangka SSM ada menawarkan program bantuan modal permulaan yang secara tidak langung mengurangkan beban golongan perniaga seperti saya.
“Jadi saya cuba mendaftar dan manalah tahu, jika ada rezeki mungkin saya terpilih dalam kalangan ribuan pemohonan program tersebut,” kata Norehan Ramli.
Tambah Norehan, 51, dia melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak SSM kerana sudi ‘turun padang’ untuk bertemu dengan golongan usahawan di bandar kecil ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SSM kerana mengurangkan bebanan kami dan dalam masa memudahkan urusan kami untuk memperbaharui lesen perniagaan,” katanya.
Menurutnya lagi, dia mengharapkan agar pemilihan pemohon yang layak mendapat bantuan menerusi program BizFair ini akan melalui proses pantauan dan kajian latar belakang daripada pihak SSM.
Hal ini kerana pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada golongan peniaga sebelum ini ada telah disalahgunakan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya minta sangat agar pihak SSM melakukan survey dahulu untuk memantau sama ada perniagaan yang dijalankan mereka adalah perlu menerima bantuan atau tidak perlu.
“Bukan apa, kadang-kadang ada golongan peniaga yang benar-benar memerlukan tetapi tidak diberikan, namun pihak yang tidak memerlukan bantuan sebaliknya dapat pelbagai bantuan.
“Golongan yang tidak sepatutnya menerima bantuan ini akan menjual semula barangan-barangan yang mereka peroleh kepada peniaga-peniaga seperti kami.
“Ini seharusnya tidak berlaku dan saya memohon agar pihak SSM lebih melakukan pemantauan kepada perkara ini,” katanya.
Sementara itu seorang pengunjung lain, Maziah Nor, 50, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak SSM kerana sudi memperkenalkan program sebegini kepada penduduk di kawasan Larut.
“Apabila program BizFair diadakan di kawasan pedalaman di sini, Alhamdulliah bagi kami kerana bukan semua orang berpeluang untuk meluangkan masa untuk seharian berada di sini.
“Ini kerana rata-rata pengunjung juga terdiri daripada golongan peniaga, program ini secara tidak langsung menaikkan semangat kami yang sudah lama menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Maziah yang mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam bidang masakan turut meminta agar pihak SSM menjalankan tinjauan mendalam buat pemohon yang mendaftar di bawah program BizFair.
Ini kerana, terdapat khabar daripada segelintir pihak yang cuba ambil kesempatan dengan bantuan yang bakal diterima mereka.
“Dari segi bantuan perniagaan itu memang perkara yang sangat mengembirakan kami, cuma saya minta agar pihak atasan tu buatlah survery dahulu, benarkah individu itu benar-benar memerlukan.
“Sebab saya lihat yang memohon ini kita kenal dan merupakan rakan-rakan sendiri. Berniaga tidak ‘tara mana’ tapi apabila mohon tu dan dapat bantuan tidak pula berniaga dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Sementara itu, golongan peniaga yang menjalankan aktiviti booth jualan ketika ditemui juga memberitahu, program yang dijalankan SSM sedikit sebanyak turut membantu melariskan produk jualan perniagaan mereka.
Peniaga madu kelulut, Sapiah Hamid, 55, berkata, program yang dijalankan selama dua hari itu membuatkan barangan lebih dikenali penduduk kampung dan dalam masa sama dapat memperkembangkan jenamanya kepada orang ramai.
“Alhamdulillah, sebab kadang-kadang kami tak cukup stok sebab kebanyakan barang-barang dijual ada yang telah dibeli dan dicari oleh pengunjung.
“Tidak setakat itu, ada pelanggan yang turut meminta agar diberikan beberapa sampel madu dan ini sudah menunjukkkan perkembangan positif buat kami sendiri.
“Saya ingin mengucapkan ribuat berterima kasih kepada SSM kerana memberikan peluang dan ruang kepada kami untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.
Sapiah yang juga salah seorang peserta Pertandingan Karaoke BizFair turut menggesa agar program anjuran SSM ini diteruskan dari semasa ke sama dan turut mengadakan roadshow di sekitar kawasan pedalaman di Perak.
Manakala seorang lagi peniaga jualan langsung produk Elken, Zuraidah Mohamad, 52, sambutan hari kedua menyaksikan beberapa buah unit produk minuman campuran dan suplemen kesihatannya berjaya mendapat sambutan begitu baik.
“Setakat hari kedua program ini, Alhamdullilah sudah berbungkus-bungkus produk kami berjaya dijual dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada staf SSM yang banyak beri sokongan kepada saya.
“Kebanyakkan mereka menempah beberapa produk dan sudah berbungkus-bungkus mereka beli,” katanya.
Zuraidah yang lebih menjalankan perniagaanya secara dalam talian turut menyarankan agar SSM meneruskan program seperti ini dan dalam masa sama memperbanyakan di tempat-tempat yang kurang dikenali orang luar.
Program BizFair yang julung kali diadakan itu memperuntukkan sebanyak RM5 juta dana yang akan disalurkan secara berperingkat kepada individu yang ingin menjadi peniaga atau usahawan.
Buat permulaan seramai 100 individu akan diberikan bantuan awal dalam bentuk barangan dan perkakasan bernilai RM3,000 sebagai modal awal perniagaan.
Program dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner. – MYNEWSHUB.CC