SEJARAH… Qantas melakar sejarah apabila mula mengadakan penerbangan langsung yang kali pertama dari Australia ke Britain tanpa transit iaitu dari Perth ke Heathrow London semalam.
Dengan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner, ia, mengurangkan masa selama tiga jam jika terpaksa singgah di Changi, Singapura atau mana-mana lapangan terbang utama di rantau Timur Tengah sebelum ini.
Penerbangan sulung QF9 selama 17 jam 20 minit itu selamat mendarat di ibu kota United Kingdom tersebut sekitar 5 pagi Isnin (bersamaan 12 tengah hari waktu Malaysia), menjangkaui perjalanan 14,484 kilometer.
Ia diberikan jolokan sebagai penerbangan kedua paling jauh di dunia, selepas syarikat penerbangan rasmi Qatar Airways mengadakan perjalanan antara Doha ke Auckland, New Zealand yang kira-kira 31 kilometer lebih jauh.
Qantas yang ditubuhkan sejak 1920 itu mula melancarkan laluan antara Australia dan Britain menerusi pakej Kangaroo Route antara Sydney ke London pada 1947 yang mengambil masa empat hari dan lima persinggahan.
Dianggarkan sekitar 730,000 pelancong Britain melawat Australia setiap tahun, yang merupakan antara negara Komanwel masih merujuk ketua negaranya sendiri sebagai pemerintah United Kingdom iaitu Ratu Elizabeth II.
Syarikat Qantas merancang menawarkan penerbangan langsung dari bahagian pantai timur Australia ke beberapa destinasi popular di Britain, dalam masa beberapa tahun akan datang. – Agensi/Myneswshub.cc/HAA