KUALA TERENGGANU – Pensyarah Fakulti Pengajian dan Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Shahril Othman meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Oman, petang tadi, waktu Malaysia.
Beliau, yang juga Pengarah Pejabat Kolej Kediaman (PKK) UniSZA, meninggal akibat serangan jantung ketika sedang menunggu penerbangan untuk pulang ke Malaysia selepas selesai urusan penyelidikan di Arab Saudi bersama dua pensyarah lain.
UniSZA dalam kenyataannya memberitahu Allahyaham telah berkhidmat di UniSZA selama 10 tahun bermula 2008 dan meninggalkan empat orang anak.
“Jenazah Allahyarham masih berada di Oman dan sedang dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia. Seluruh warga UniSZA menzahirkan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA