SEORANG penternak yang membunuh anjing gembalanya kerana binatang itu gagal melindungi sekumpulan kambing ternakannya di ladang, telah dipenjarakan selama 18 minggu.
Graham Thomas, 55, telah membunuh anjingnya, Prince dengan mengikat tali di leher binatang itu lalu menggantungnya di sebatang pokok di ladangnya di South Wales.
Menurut saksi, Thomas turut memaki binatang itu sebelum membunuhnya.
Dia mengaku tidak bersalah dan mendakwa binatang itu memanjat sendiri pokok itu sebelum tali di lehernya tersangkut lalu mati.
Namun mahkamah majistret Newport tidak percaya akan cerita Thomas dan mendapati dia bersalah dalam perbicaraan yang diadakan.
Dia juga dilarang daripada memelihara anjing atau kambing seumur hidup.
Sementara itu, pihak berkuasa berkata, kes itu adalah luar biasa dan kejam di mana seekor anjing mati dibunuh oleh pemiliknya hanya kerana ia dikatakan tidak menjaga kambing dengan betul.
“Ia merupakan perbuatan yang disengajakan dengan bangkai anjing itu dibakar dan dibuang,’’ kata jurucakap pihak berkuasa. – MYNEWSHUB.CC