PEKAN – Seekor penyu dipercayai spesies penyu belimbing ditemukan mati di Pantai Nenasi di sini pagi tadi dipercayai akibat tersangkut di pukat pari yang dipasang oleh nelayan di pesisir pantai berkenaan.
Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, 33, berkata bangkai penyu berkenaan dijumpainya pada 6.30 pagi dipercayai telah mati beberapa hari lepas berdasarkan keadaan cengkerang yang telah pecah selain mulai mereput.
“Ini bukan kali pertama penyu ditemukan mati di pantai ini kerana pada tahun lepas sahaja tiga ekor penyu daripada spesies yang sama juga dijumpai mati dan terdampar di pantai ini dalam keadaan terjerat dengan pukat.
“Sebagai nelayan, saya bimbang jika rakan-rakan lain terus memukat dengan menggunakan pukat pari di tepi pantai itu, ia akan mengancam hidupan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya ini berikutan kawasan pantai Nenasi merupakan antara kawasan pendaratan penyu untuk bertelur bermula dari bulan Mac hingga September pada setiap tahun dan jika keadaan itu berterusan, maka lebih banyak penyu dikhuatiri akan mati.
“Nelayan sendiri perlu ada kesedaran dalam hal ini, kita tidak mahu haiwan ini semakin hari semakin pupus, jadi jika ingin memukat, mungkin boleh pergi ke kawasan perairan yang lebih dalam sedikit.
“Aktiviti memasang pukat di tepi pantai bukan sahaja mengganggu habitat penyu tetapi juga pelancong atau sesiapa sahaja yang mandi-manda di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri Pahang Azahari Othman gagal dihubungi untuk mengesahkan tentang kejadian itu. – BERNAMA