KUALA KANGSAR – Kerajaan negeri Perak perlu mengutamakan keperluan air di negeri ini terlebih dahulu sebelum meneliti cadangan untuk menjualnya kepada negeri lain, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini.
Beliau berkata walaupun beberapa siri perbincangan berkaitan penjualan itu diadakan di peringkat pusat namun, ia belum dimuktamadkan kerana kerajaan negeri Perak masih dalam proses melakukan penilaian.
“Tidak dinafikan ada perbincangan yang telah dibuat kerana kita ada beberapa sungai bersempadan dengan jiran kita seperti Selangor dan Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, kita perlu melihat aspek penjualan itu kerana apa yang lebih utama adalah Perak terlebih dahulu menerima manfaatnya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2018 bertema ‘Nature for Water’ di Laman Budaya di sini, hari ini.
Beliau berkata isu penjualan air itu juga tidak akan sesekali dipolitikkan kerana ia mengambil kira mengenai kepentingan dan keperluan rakyat.
“Kita tidak akan politikkan isu air kerana ia kemudahan yang diperlukan…keutamaan memenuhi keperluan di Perak adalah yang didahulukan sebelum mengambil tindakan menjual air kepada negeri lain,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hamim Samuri berkata Perak diiktiraf antara negeri terbaik yang masih memelihara dan memulihara alam sekitar terutama berkaitan hal pengurusan air.
Beliau berkata penjagaan alam sekitar adalah amat penting dengan ia memerlukan kerjasama dan penglibatan semua pihak. – BERNAMA