SYARIKAT Perkhidmatan e-hailing, GRAB dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berkerjasama dengan menawarkan RM4 diskaun bagi perjalanan penumpang ke hospital kerajaan yang terpilih.
Keistimewaan yang diberikan buat para penumpang telah diumumkan semalam melalui laman portal online Grab dan promosi tersebut bakal berkuat kuasa bermula 1 April 2018 sehingga 28 Februari 2019.
Promosi ini dibuka kepada seluruh warganegara Malaysia, pendatang asing yang bekerja dalam negara dan para pelancong dari luar negara dengan terhad kepada 5,000 penebusan pertama setiap bulan untuk 4 kali perjalanan ke hospital.
Bagi mendapatkan diskaun tersebut, pengguna atau penumpang perlu muat turun aplikasi dari Apple App Store atau Google Play Store dengan memilih ikon GrabCar, GrabTaxi, GrabShare atau JustGrab. Kemudian, tempah lokasi pilihan dengan kod promo GRABMOH.
Kini, pengguna boleh menikmati promosi yang telah diberikan untuk perjalanan di kebanyakan hospital terpilih yang telah ditetapkan terutamanya di bandar-bandar utama.
Maklumat lanjut berkenaan promosi ini boleh layari https://www.grab.com/my/grab-x-ministry-of-health.
Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu usaha KKM tanda keprihatinan kepada para pesakit dan pelawat hospital kerajaan yang turut mendapat keuntungan buat penumpang Grab.
Promosi ini secara tidak langsung memudahkan perjalanan pelawat dan pesakit ke hospital selain mengurangkan kos pengangkutan ulang alik serta mampu mengelak daripada timbul masalah tempat meletakkan kenderaan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE