KUALA LUMPUR – Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan mengeluarkan kenyataan interim berhubung perkembangan terkini siasatan mengenai Penerbangan Malaysia Airlines MH370 esok bagi memperingati ulang tahun keempat kehilangan pesawat malang itu.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Ketua Penyiasat pasukan Datuk Kok Soo Chon akan mengumumkan perkembangan terkini siasatan menerusi siaran langsung di TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 3 petang.
“Kenyataan itu juga akan dimuat naik ke laman rasmi MH370 ; www.mh370.gov.my dan ia akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada waris terdekat sahaja dan kemudian dimaklumkan kepada umum,” kata Liow dalam satu kenyataan, hari ini.
Penerbangan MH370 sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014, apabila ia dilaporkan hilang dan semua 239 penumpang dan kru dalam pesawat tersebut diisytiharkan telah terkorban.
“Tarikh 8 Mac, 2014 akan sentiasa kekal dalam ingatan kita. Ia pasti menjadi detik yang sukar dan penuh mencabar selama 48 bulan bagi ahli keluarga dan orang tersayang penumpang dan anak kapal penerbangan MH370.
“Empat tahun mungkiin telah berlalu tetapi ingatan penumpang dan anak kapal pesawat tersebut sentiasa bersama kita dan mereka tetap diingati bukan sahaja oleh keluarga tetapi juga oleh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia,” kata beliau.
Liow berkata kerajaan tetap komited untuk merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut apabila ia bersetuju menggunakan khidmat Ocean Infinity, sebuah firma penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat untuk menjejaki pesawat itu pada 10 Jan 2018.
Pencarian tersebut adalah berdasarkan terma “no cure no fee’ iaitu pembayaran hanya dibuat apabila serpihan pesawat ditemukan dalam tempoh masa 90 hari.
Liow berkata misi pencarian membabitkan sebanyak 65 kru atas kapal itu termasuk dua anggota dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai wakil kerajaan Malaysia dan setakat ini, kapal Seabed Constructor telah menjalankan pencarian merangkumi kawasan seluas lebih 16,000 kilometer persegi. – BERNAMA