KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengeluarkan bayaran faedah sebanyak RM807 juta kepada 19,000 pencarumnya untuk kes penyakit tidak berjangkit pada 2017.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata penyakit tidak berjangkit yang disebabkan oleh gaya hidup tidak sihat menjadi antara penyebab utama kemerosotan tahap kesihatan pekerja masa kini.
“Perkeso telah memperkenalkan Program Saringan Kesihatan (HSP) secara percuma kepada pencarumnya sebagai antara usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan seterusnya menangani penyakit tidak berjangkit dalam kalangan pekerja,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar “Workplace Health Promotion 2018” di sini, hari ini.
“Bagi tahun ini, Perkeso telah mengedarkan pertambahan sebanyak 233, 491 baucar kepada pekerja yang layak menjalani HSP, menjadikan jumlahnya seramai 2.8 juta pencarum layak menjalani saringan kesihatan di bawah program ini sejak diperkenalkan pada 2013,” katanya.
Mohammed Azman berkata seramai 512,000 pencarum telah menjalani HSP dan daripada jumlah tersebut, 127,000 wanita telah menjalani pemeriksaan mamogram.
Hasil daripada HSP, sebanyaj 73 peratus daripada pencarum didapati mempunyai masalah berat badan. Sebanyak 9 peratus menghidap kencing manis, 48 peratus menghidap tekanan darah tinggi dan 62 peratus mempunyai kadar kolestrol tinggi, katanya.
Terdahulu Pengerusi Perkeso Tan Sri Dr Aseh Che Mat menyampaikan hadiah kepada pemenang program Perkeso Activ@ Work Challenge 2017. Turut hadir ialah pengasas BookDoc Datuk Chevy Beh yang juga penaja program.
Program tiga bulan bermula 1 September hingga 30 November itu berkonsepkan cabaran melakukan kegiatan fizikal aktif seperti berjalan kaki, berlari dan bersenam. Selain golongan pekerja, ia turut bertujuan memotivasikan majikan supaya memberi galakan dan sokongan kepada pekerja mereka dalam amalan aktiviti sihat di tempat kerja.
Aktiviti fizikal peserta dipantau melalui aplikasi BookDoc Activ yang perlu dimuat turun ke dalam telefon pintar setiap peserta. Aplikasi berkenaan disambungkan kepada aplikasi kesihatan yang sedia ada di telefon pintar ataupun alatan kesihatan bagi menjejaki dan merekod kiraan langkah peserta.
Selain menyumbangkan mata kepada majikan, pekerja juga ditawarkan pelbagai ganjaran menarik melalui aplikasi BookDoc Activ.
Dalam program tersebut, 132 majikan terlibat dengan jumlah kira-kira 100, 000 pekerja sebagai peserta dan Petronas telah memenangi kategori majikan besar.
Program Perkeso Activ@ Work Challenge diteruskan lagi tahun ini dan Perkeso menyasarkan penyertaan daripada 500 majikan. – BERNAMA