KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membatalkan pernyataan pembelaan difailkan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
Peguam Nor Emelia Mohd Iszeham, yang mewakili perdana menteri memberitahu pemberita bahawa permohonan Najib untuk membatalkan pernyataan pembelaan Ling berhubung perlindungan bersyarat dan justifikasi telah difailkan pada 21 Jan 2016.
“Permohonan itu difailkan atas alasan kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkan Ling terhadap anak guamnya bukanlah satu komen berpatutan,” katanya selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan hari ini.
Sementara itu, peguam Ranjit Singh yang mewakili Ling berkata tarikh perbicaraan kes saman berkenaan yang ditetapkan selama tiga hari bermula 24 April ini dikekalkan dan anak guamnya bersedia untuk memberi keterangan.
Najib atas kapasiti peribadi telah memfailkan saman terhadap Ling pada 27 Okt 2015 kerana mendakwa bekas menteri pengangkutan itu telah membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam satu artikel yang disiarkan dalam sebuah portal berita pada 3 Okt 2015.
Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata Ling secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di sini dengan mendakwa kenyataan oleh Ling membawa maksud beliau (Najib) telah menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.
Pada 16 Mac lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin menolak permohonan Ling untuk membatalkan saman yang difailkan Najib selepas memutuskan bahawa ada isu yang akan dibicarakan dalam kes saman itu berhubung locus standi sama ada plaintif (Najib) memfailkan saman atas kapasiti peribadi atau sebagai pegawai awam.
Pada 18 Julai 2016, Hakim Datuk Nor Bee membenarkan permohonan Najib untuk mengetepikan afidavit bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang difailkan untuk menyokong permohonan Ling bagi membatalkan saman tersebut. – BERNAMA