PUTRAJAYA – Adakah persempadanan semula kawasan pilihan raya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional berbanding parti pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14)?
Ini antara persoalan yang dikupas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam temu bual dengan Bernama menjelang PRU14 yang bahangnya semakin terasa.
Berikut merupakan intipati temu bual tersebut.
BERNAMA: Mengenai persempadanan semula bahagian pilihan raya, pada pandangan Tan Sri, adakah persempadanan baharu itu akan sempat dilaksanakan pada PRU14?
MOHD HASHIM: Urusan Kajian Semula Persempadanan Negeri-Negeri Tanah Melayu tergendala hampir setahun lebih ekoran telah dicabar di mahkamah. Sebanyak 15 kes telah difailkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menghalang SPR daripada melaksanakan urusan itu. Alhamdulillah, mahkamah telah membuat keputusan dan setakat ini SPR berjaya meneruskan urusan itu.
Untuk makluman, urusan pilihan raya dan kajian semula persempadanan adalah dua perkara yang berbeza. PRU14 akan tetap diadakan walaupun kajian semula persempadanan ini tidak dapat disiapkan.
Persoalan sama ada ia dapat digunakan dalam PRU14 bukannya ditentukan SPR. SPR bertanggungjawab menyediakan syor persempadanan semula bahagian pilihan raya dan setelah menyerahkan laporan akhir syor itu kepada perdana menteri, terpulang kepada perdana menteri untuk membawanya ke Dewan Rakyat bagi dibahas untuk mendapat kelulusan. Ia adalah kuasa budi bicara perdana menteri untuk membentangkannya di Dewan Rakyat atau tidak dan bukannya kuasa SPR.
Sekiranya syor tersebut diluluskan dengan majoriti mudah iaitu lebih daripada separuh di Dewan Rakyat dan mendapat perkenan serta ditandatangani oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka ia akan diwartakan untuk dikuatkuasakan dan dapat digunakan pada PRU14. Sebaliknya, jika Dewan Rakyat terbubar terlebih dahulu sebelum syor persempadanan semula diluluskan di Dewan Rakyat, maka persempadanan yang lama digunakan pada PRU13 akan diguna pakai.
BERNAMA: Apakah pandangan Tan Sri mengenai dakwaan bahawa persempadanan semula itu bagi memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN)?
MOHD HASHIM: Dakwaan itu adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI dan ia berunsur propaganda politik semata-mata. SPR melaksanakan urusan persempadanan semula untuk kepentingan rakyat dan pengundi. Bukannya untuk kepentingan mana-mana parti politik. Semua urusan yang dilakukan oleh SPR adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang. Buktinya lebih 15 kes yang difailkan di mahkamah bagi mencabar urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya yang dijalankan SPR telah ditolak dan keputusan menyebelahi SPR.
SPR telah menyediakan syor dan mempamerkannya, namun setiap pihak yang layak berhak untuk membuat bantahan dan bantahan mereka itu didengari dalam sesi siasatan tempatan yang diadakan. SPR akan mengambil kira setiap cadangan yang relevan untuk perubahan syor.
Kemenangan seseorang calon atau mana-mana parti bukannya ditentukan oleh persempadanan tetapi ditentukan oleh pengundi. Semasa kita membuat kajian persempadanan, ia mengambil kira beberapa prinsip termasuk kemudahan kepada pengundi dan wakil rakyat. Apabila SPR menang kes di mahkamah, ada pihak menggesa agar semua pengundi keluar mengundi pada PRU14 nanti kononnya bagi mengurangkan kesan manipulasi persempadanan semula.
Ini jelas menunjukkan bahawa kuasa pengundi adalah penentu mutlak kepada kemenangan seseorang calon, bukannya persempadanan. Pengundi mempunyai kuasa mutlak untuk memilih berdasarkan penilaian mereka terhadap calon, parti dan juga keyakinan mereka terhadap calon yang akan mewakili mereka. Persempadanan semula hanya bertujuan menentukan kawasan pentadbiran pilihan raya dan memastikan kemudahan kepada pengundi serta wakil rakyat bukannya untuk memastikan kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak.
Jika dakwaan kononnya SPR menyebelahi parti BN dan boleh menentukan kemenangan parti itu, sudah pasti keputusan sebagaimana PRU12 dan PRU13 tidak berlaku di mana Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah jatuh ke tangan pihak parti lain. Kalaulah SPR bantu BN, sudah pasti mereka dapat menguasai 100 peratus kerusi Dewan Rakyat atau dewan undangan negeri (DUN), namun itu semua tidak berlaku kerana SPR adalah sebuah badan bebas dan berkecuali yang menjalankan pilihan raya dengan telus dan adil.
SPR sentiasa bersikap profesional dan tidak akan bertindak menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan proses demokrasi.
BERNAMA: Pada PRU13 lepas, pelbagai berita palsu tersebar melalui media sosial seperti berlaku ‘blackout’ di pusat pengiraan undi dan sebagainya. Pada PRU kali ini, apakah langkah yang akan diambil SPR bagi menangani penyebaran berita palsu seperti itu?
MOHD HASHIM: Setiap kali PRU isu yang sama juga akan dikitar semula oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk menimbulkan keraguan dan ketidak yakinan rakyat kepada SPR dan sistem pilihan raya. Isu ‘blackout’ telah terbukti sebagai satu fitnah dan didapati ia gambar yang disunting oleh pihak tertentu untuk menjejaskan kredibiliti SPR, namun masih ramai yang percaya dengan pembohongan itu kerana mereka tidak menerima maklumat yang tepat.
Begitu juga dengan dakwaan bahawa kononnya 40,000 warga Bangladesh mengundi dalam pilihan raya, namun ia lenyap begitu sahaja selepas PRU13 dan tidak ada sebarang petisyen dikemukakan untuk membuktikannya. Malah tidak ada satu pun laporan polis dibuat dan bukti dikemukakan. Dalam sejarah pilihan raya di negara ini, isu ini tidak pernah dibawa dalam mana-mana petisyen pilihan raya. Hakikatnya tohmahan tersebut tidak pernah pun dibuktikan oleh mana-mana pihak sama ada di mahkamah atau luar mahkamah.
Menjelang PRU14 ini juga, ada pihak mendakwa PRU14 kononnya yang terkotor. PRU12 dulu pun terkotor tapi mereka dapat memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. PRU13 pun yang terkotor juga tetapi mereka masih mengekalkan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan serta menafikan majoriti dua pertiga kerusi DUN di beberapa negeri. Kali ini PRU14 pun dikatakan terkotor. Sebenarnya inilah propaganda liar pihak tertentu untuk menyemai persepsi buruk dalam kalangan rakyat agar mencurigai sistem pilihan raya dan SPR.
Pada kali ini, SPR bersedia menangkis segala tohmahan ini dengan fakta dan menggunakan pendekatan yang lebih berkesan termasuk penggunaan media sosial. SPR juga telah menjalankan sesi penerangan dan penjelasan kepada pelbagai sasaran dan mereka kini memahami bahawa mereka selama ini tertipu dengan dakyah oleh pihak-pihak tertentu.
Pada PRU14 ini juga SPR akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menangani berita palsu yang tersebar termasuk melaporkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap penyebar berita palsu yang menimbulkan kegemparan.
BERNAMA: PRU kali ini dikatakan sebagai ‘father of all elections’. Adakah terdapat elemen baharu atau penambahbaikan dalam pengendalian PRU kali ini?
MOHD HASHIM: Pada PRU14, tiada peraturan baharu diperkenalkan, tetapi hanya ada sedikit perbezaan berkaitan kaedah penggunaan dakwat pilihan raya. Pada PRU13 yang lalu, kaedah penggunaan dakwat pilihan raya adalah dengan cara mencalit dakwat tersebut pada jari pengundi, sebaliknya pada PRU14 nanti kaedah celupan jari ke dalam dakwat akan digunakan. Kaedah ini telah digunakan dalam setiap pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU13 dan juga semasa Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak Ke-11.
Selain daripada itu, perkara baharu pada PRU14 nanti adalah terdapatnya penambahan dalam kategori pengundi pos iaitu penambahan sembilan kategori baharu pengundi yang diberi kemudahan mengundi secara pos. Mereka terdiri daripada anggota keselamatan, kesihatan dan perkhidmatan awam dalam bidang kritikal.
BERNAMA: Apakah nasihat Tan Sri sebagai Pengerusi SPR kepada parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRU14 memandangkan landskap politik negara yang amat sengit?
MOHD HASHIM: Kepada semua bakal calon daripada parti politik atau bebas yang akan bertanding pada PRU14 akan datang, saya berharap mereka semua dapat mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Saya juga mengharapkan semua parti politik dan calon yang bakal bertanding untuk melantik wakil-wakil mereka sebagai ejen bagi memerhati proses pengundian dan pengiraan undi semasa pilihan raya nanti.
Bila tiba masa pilihan raya nanti, berkempenlah secara bersih dan elakkan kempen yang berunsur fitnah, menghasut dan sebagainya yang boleh menimbulkan suasana tegang.
BERNAMA: Harapan Tan Sri kepada semua pihak terutamanya pengundi dan pemimpin parti politik.
MOHD HASHIM: Kepada rakyat, tapis setiap maklumat yang diterima di media sosial kerana kebanyakkan maklumat yang berlegar dalam media sosial adalah tidak sahih, palsu dan mempunyai tujuan tertentu yang mungkin boleh menimbulkan kegusaran rakyat dan pengundi.
Kepada pemilih berdaftar, mereka disaran agar sentiasa menyemak status maklumat daftar pemilih mereka bagi mengetahui tempat pengundian mereka pada PRU14 nanti agar tidak menjadi kelam kabut pada saat akhir. Jika ada kesilapan, segera maklumkan atau buat aduan kepada SPR untuk diperbetulkan.
Kepada pengundi, anda diseru supaya keluar mengundi pada PRU14 nanti. Jangan sia-siakan hak mengundi anda dan mengundilah dengan bijak. Jangan persiakan hak anda sebagai warganegara, gunalah hak mengundi anda untuk menentukan kepimpinan dan kerajaan yang memerintah. Undilah dengan bijak, jangan merosakkan undi anda hanya kerana anda kecewa terhadap sesuatu perkara atau kepada mana-mana pihak.
Kepada semua pemimpin parti politik, saya menyeru mereka agar dapat menjaga suasana keharmonian dan ketenteraman awam sepanjang masa, khususnya semasa pilihan raya nanti. Ini kerana, setiap tindakan mereka akan menjadi panduan dan ikutan kepada anggota dan penyokong mereka. Mereka juga diingatkan agar sentiasa mematuhi setiap peraturan dan undang-undang berkaitan semasa pilihan raya nanti agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan peluang mereka untuk bertanding dalam pilihan raya. Mereka juga diharap dapat bersama-sama dalam menyampaikan mesej bagi menggalakkan pengundi keluar mengundi dan tidak mensia-siakan undi mereka. – BERNAMA