LIMA – Jabatan kehakiman Peru pada Rabu meminta Amerika Syarikat (AS) mengamalkan sifat timbal balik ketika mengemukakan permohonan untuk mengekstradisi bekas presiden Alejandro Toledo yang didakwa melakukan kesalahan rasuah, lapor agensi berita China Xinhua.
“Kami perlu meminta pihak berkuasa AS berbuat demikian kerana apabila mereka mengemukakan perintah ekstradisi kepada kami, terutama bagi pengedaran dadah, kami tidak mengambil tempoh melebihi tiga bulan,” kata presiden kehakiman Duberli Rofriguez seperti dipetik oleh agensi berita rasmi Andina.
Toledo berdepan pertuduhan menerima rasuah sebanyak US$20 juta daripada gergasi pembinaan Brazil, Odebrecht, sebagai pertukaran untuk kontrak kerja-kerja awam yang menguntungkan.
Presiden Peru dari 2001 hingga 2006 itu juga didakwa melakukan kesalahan menjaja pengaruh dan pengubahan wang haram.
Toledo menafikan semua pertuduhan itu dan kini musuh politik beliau membalas dendam terhadapnya susulan kemenangan pada pilihan raya presiden.
Peru dan AS menandatangani satu perjanjian berkaitan ekstradisi pada 2001 yang dikatakan telah mempertingkat kerjasama dalam membanteras jenayah. – BERNAMA