Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Pemuda UMNO Akan Saman...

SHAH ALAM - Pemuda UMNO akan memulakan prosedur saman terhadap Menteri Belia dan...

Video: Sekali Lagi Khairul...

JUARA kali kedua perlumbaan motosikal Moto3 Grand Prix (GP) Jerman, Khairul Idham Pawi...

Pengguna IG: Apakah Anda...

DALAM dunia moden, gangguan jiwa muncul dalam pelbagai elemen. Malah, dalam kes tertentu,...

Penganggur Mengaku Tidak Bersalah...

IPOH - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari...

Peserta Program Tube Raih Lebih RM10,000 Sebulan

KUALA LUMPUR – Dalam tempoh dua hingga tiga tahun, ramai peserta program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah membuktikan kebolehan mereka dengan menembusi bidang perniagaan yang sebelum ini jarang diceburi oleh usahawan bumiputera.

Antara mereka ialah Mohd Majdi Mohd Ramlee, pemilik Prowheels (M) Sdn. Bhd. Kini, beliau memiliki empat bengkel di Kedah dengan 60 pekerja dan menjadi pengedar tunggal di Malaysia bagi tayar ZETA yang dibuat di Thailand.

TUBE, salah satu daripada inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk membantu belia dan menggalakkan sumbangan mereka kepada negara, telah menjadi platform bagi usahawan muda yang bercita-cita tinggi.

Kebanyakan peserta yang berjaya dalam program ini kini berjaya memperoleh lebih daripada RM10,000 sebulan!

Mohd Majdi menyertai Program TUBE yang dikendalilkan oleh SME Corp. Malaysia pada 2014. Beliau menyertai program berkenaan selepas bekerja di sebuah agensi kerajaan selama empat tahun sejurus selepas menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia, dengan ijazah dalam bidang perbankan.

“Saya sememangnya selalu mahu berniaga, dan agensi di mana saya bekerja memberi peluang untuk saya bertemu dengan usahawan dan mengajar saya asas dalam memulakan perniagaan,” katanya.

Berbekalkan RM15,000 dalam bentuk geran daripada Program TUBE, serta pinjaman daripada MARA dan SME Bank, Mohd Majdi membuka sebuah kafe dan bengkel kereta/tayar. Bagaimanapun, hasil jualan tidak memuaskan daripada kedua-dua kedai disebabkan persaingan tinggi.

Titik perubahan berlaku apabila Mohd Majdi bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Datuk Hafsah Hashim.

“Datuk Hafsah mencadangkan saya memberikan makanan dan minuman percuma kepada pelanggan bengkel dari kafe saya. Ini satu idea yang saya tidak pernah terfikir… hasilnya, perniagaan berkembang, pendapatan meningkat tiga kali ganda dan ini telah mengubah hidup saya!” kata Mohd Majdi, yang kemudiannya merancang mengembangkan perniagaannya dengan mengimport tayar.

“Saya telah lama merancang untuk mengimport tayar ZETA dari Thailand. Tetapi pesanan minimum yang dikenakan oleh pengeluar adalah 30,000 tayar. Bukan tugas yang mudah kerana terdapat banyak jenama terkenal di pasaran dan saya tahu jualan tidak boleh dicapai melalui empat bengkel saya sahaja.”

Mohd Majdi kemudiannya beralih kepada media sosial dengan pemasaran melalui Facebook, dan menawarkan pemasangan percuma kepada pelanggan di bengkel-bengkel tayar terpilih sekiranya mereka membeli ZETA dalam talian.

Kedai-kedai yang terpilih ini akhirnya menjadi pengedar tayarnya.

Beliau berharap untuk meningkatkan bilangan pengedar kepada 400 daripada 120 yang sedia ada. Beliau juga menjelaskan yang Prowheels merupakan pengedar tunggal untuk tayar Achilles Motorsport 123s di Malaysia, dan merancang untuk membuka francais di seluruh negara.

Menurutnya lagi, hanya tiga peratus usahawan bumiputera dalam perniagaan bengkel dan tayar, dan beliau berharap dapat meningkatkan angka ini kepada lima peratus pada masa akan datang dengan menawarkan francais, serta kursus pendek kepada pelajar sekolah menengah yang boleh menceburi industri itu di masa hadapan.

“Nasihat saya kepada peserta lain adalah… selalu pentingkan kualiti, memandangkan pemotongan harga mungkin tidak sesuai dalam jangka masa panjang. Saya ingin membantu bumiputera yang mahu membuka bengkel dan kedai tayar. Mereka hanya perlu menyediakan lokasi dan kami akan membantu dari segi teknikal dan aspek lain,” katanya.

Seorang lagi peserta TUBE yang terlibat dalam perniagaan berkaitan kenderaan ialah Affizolhadi Suria, pemilik bengkel cat semburan dan badan kenderaan, HVC Paint Garage di Senawang, Negeri Sembilan.

Affizolhadi pada mulanya mengajar di sebuah kolej vokasional di Bukit Beruntung, Selangor.

“Minat saya bermula semasa bekerja di bengkel cat selepas sekolah, dan teringin membuka kedai saya sendiri ketika mengajar cara-cara menyembur cat di kolej. Selepas bekerja selama dua tahun, saya berhenti dan menyertai Program TUBE.”

Dengan berbekalkan dana RM15,000 yang diperoleh melalui program itu, beliau membuka sebuah bengkel dan kini menggaji tiga orang pekerja untuk membantunya.

“Kebanyakan kedai semburan cat dimiliki orang Cina. Tetapi, itu tidak bermakna bumiputera tidak boleh berjaya. Kita perlu bekerja keras dan menerapkan kemahiran pemasaran dan komunikasi yang betul; untuk menarik dan mengekalkan pelanggan.”


Affizolhadi mengakui bilangan orang Melayu dalam perniagaan penyemburan dan cat sangat rendah. Mereka tidak mempunyai kelengkapan baik, di samping hanya bergantung pada pengalaman kerja mereka.

“Saya mahu memperluaskan perniagaan saya supaya dapat menawarkan perkhidmatan khusus kepada pelanggan saya. Kita perlu mempunyai keunikan yang tersendiri untuk menarik pelanggan dari pelbagai kaum,” katanya lagi.

Usahawan muda ini juga berpandangan jauh.

Beliau sedang meninjau perniagaan sedia ada dengan merancang untuk menawarkan perantisan kepada pelajar dari kolej vokasional pada tahun 2020, sebaik sahaja peralatan yang diperlukan dan peralatan khusus disediakan.

“Dengan membuka bengkel saya kepada perantisan, saya ingin menghasilkan satu kumpulan usahawan bumiputera. Selepas menamatkan pengajian dan perantisan dengan saya, mereka boleh membuka bengkel sendiri dan saya akan memantau mereka untuk dua tahun yang pertama,” katanya.

Affizolhadi berkata pemasaran dan jaringan sangat penting dalam perniagaan.

Beliau kini menaja dua pasukan sukan bermotor iaitu RUDY MENDOBUT N9 & KENO untuk mempromosikan perniagaannya.

Bagi Nurliana Muhammad pula, pengalaman yang diperoleh dalam 15 pekerjaan yang berbeza sebelum ini – daripada mengajar kepada kerani perkapalan – telah meyakinkannya bahawa menjalankan sebuah akademi latihan dan motivasi, adalah kerjaya yang tepat untuk dirinya.

“Saya merupakan pelajar terbaik lulusan Diploma Sains Perubatan, di Manjung, Perak. Saya terkejut apabila kerja pertama saya di sebuah hospital bersalin hanya menawarkan gaji sebanyak RM1,200. Adakah itu nilai saya?” detik hati Nurliana.

Kehidupan beliau berubah apabila terbaca mengenai program TUBE yang diviralkan melalui Whatsapp.

“Itu memang adalah takdir kerana saya telah menerima mesej itu hanya lima jam sebelum tarikh tutup. Malah, saya mendapat motivasi untuk menyertai Program TUBE apabila melihat bagaimana seorang Mat Rempit berjaya dalam perniagaan burger selepas mengambil bahagian dalam program tersebut.”

Menurut Nurliana, beliau didedahkan kepada pelbagai aspek perniagaan, termasuk pentadbiran, sumber manusia, pemasaran, dan pengurusan kewangan semasa menjalani latihan TUBE selama tiga minggu yang dikendalikan oleh pelbagai agensi kerajaan yang diterajui oleh SME Corp Malaysia.

“Menyertai program TUBE adalah perkara terbaik yang berlaku dalam hidup saya. Mereka memberikan bimbingan serta motivasi kepada kami. Selain itu, geran RM15,000 telah diberikan sepenuhnya kepada kami. Tidak seperti beberapa geran lain yang ditolak terlebih dahulu untuk pelbagai kos lain,” katanya.

Sejak 2016, Nurliana telah melatih hampir 10,000 peserta di seluruh negara dengan bantuan lima pekerja. Beliau juga merancang untuk membuka satu pusat sehenti untuk belia yang berminat menjadi usahawan.

Beliau juga telah menulis dan menerbitkan sebuah buku mengenai motivasi dan keusahawanan yang bertajuk ‘Mr CEO Buat Sampai Dapat’ dengan seorang lagi peserta TUBE, Amir Hakimin.

Sejak pelaksanaannya pada 2014, Program TUBE telah mencatatkan penyertaan seramai 2,433 belia, di mana 2,367 (97 peratus) peserta telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan memulakan operasi perniagaan.

Sehingga akhir 2017, perniagaan-perniagaan ini mencatatkan jualan kumulatif bernilai RM54.6 juta dan berjaya mewujudkan 4,352 pekerjaan baru. Pada 2018, seramai 2,000 belia akan dilatih di bawah program ini yang bertujuan untuk mengubah pemikiran golongan belia daripada menjadi pencari pekerjaan kepada penyedia pekerjaan.

Usaha ini sejajar dengan Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk mewujudkan perniagaan yang mampan dengan pertumbuhan kumulatif dalam jualan. – BERNAMA

Kategori