LANGKAWI – Pesta Wau Terbuka Langkawi yang diadakan untuk kali ke-10 di Kampung Padang Lalang di sini yang berlangsung selama dua hari sejak Jumaat lepas dijangka mampu diangkat untuk menjadi satu lagi produk tarikan pelancong di pulau peranginan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) wajar meletakkan pesta tahunan ini dalam kalendar pelancongannya berikutan penyertaan yang amat menggalakkan setiap tahun sejak 2008.
“Pesta Wau ini kalau dilihat sambutannya begitu hangat daripada penduduk dan pelancong, pasti pihak LADA akan memasukkan Pesta Wau Langkawi pada tahun 2019 sebagai satu lagi produk pelancongan,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, selain menjadi satu platform bagi penduduk dari semua kampung di Langkawi untuk berinteraksi dan terus menghidupkan aktiviti tradisional mereka, pesta ini turut memberi peluang kepada pelancong untuk mencuba kemahiran mereka bermain wau dan menghayati keunikan budaya hidup komuniti Langkawi.
“Ramai pelancong yang singgah dan (menyatakan mereka) tertarik dengan cara permainan wau kita di Langkawi yang begitu unik,” kata Mohd Rawi, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Hangat. – BERNAMA