KUALA LUMPUR – Jaguh pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri apabila memenangi pingat emas acara 100m dengan catatan masa 10.34 saat pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/MILO 2018 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.
Lebih menakjubkan, kejohanan itu merupakan penampilan pertama buat pemegang rekod 100m dan 200m kebangsaan itu dalam tempoh tujuh bulan selepas pulih daripada kecederaan otot paha (hamstring) yang dialami sewaktu beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Atlet berusia 19 tahun itu berkata penyertaannya pada kejohanan itu adalah untuk mendapatkan semula suasana bertanding selepas berehat lama selain menjadi medan pemanas badan sebelum beraksi di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan depan.
“Kejohanan hari ini adalah untuk mendapatkan semula perasaan berlari 100m sebab saya pun baru sahaja pulih sepenuhnya dari kecederaan. Ini juga kejohanan pertama saya dan Alhamdulillah dapat kekalkan catatan 10.34s dan saya berterima kasih kepada jurulatih saya (Mohd Poad Md Kassim).
“Dengan catatan itu selepas ini saya akan lebih semangat dan akan menggandakan lagi latihan supaya dapat mencapai sasaran ke peringkat akhir dalam acara 100m di Sukan Komanwel nanti,” katanya.
Selain menyasarkan untuk mara ke peringkat akhir di Gold Coast, anak jati Melaka itu turut memasang impian memperbaharui rekod kebangsaan 10.18s miliknya yang dilakar pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2016.
“Saingan di Sukan Komanwel sangat sengit tetapi saya hanya mahu tumpukan kepada larian dan cuba untuk memecahkan rekod 10.18s atau sekurang-kurangnya menyamai kepantasan tersebut,” tambah beliau.
Sebagai rekod, Khairul Hafiz yang diberi jolokan ‘The Speedy Jantan’ berjaya menamatkan kemarau pingat emas 14 tahun negara dalam acara reben biru Sukan SEA selepas menjuarai 100m di KL2017 mengatasi juara bertahan, Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dengan catatan 10.43s.
Dalam acara hari ini, pingat perak dimenangi oleh Muhammad Zulfiqar Ismail dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor dengan masa 10.46s diikuti rakan sepasukan, Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan masa 10.47s. – BERNAMA